Perkenal lagu baharu tahun depan

Kali akhir muncul dengan album berbahasa Melayu, Mari, kira-kira tujuh tahun lalu, Nourul Depp mengumumkan bakal tampil dengan lagu baharu pada 2020.

Menurut artis yang pernah popular dengan lagu Kerana Terluka itu, minatnya terhadap bidang seni suara tidak pernah terhakis walaupun sibuk dengan beberapa aktiviti lain, termasuk perniagaan.

“Saya tidak pernah melupakan minat dalam nyanyian. Terbaharu, saya akan muncul dengan single berjudul Dan Kini hasil ciptaan sendiri, tahun depan. Lirik lagu berkenaan ditulis oleh Shah Shamsiri.

“Sebenarnya, lagu itu agak lama juga diperam. Kali pertama saya merakamkannya adalah pada 2015. Namun, saya merakamkan semula lagu terbabit bagi mengemaskini vokal. Kini, semuanya sudah siap dan bersedia untuk dilancarkan. Saya turut merancang untuk mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan kehadiran lagu baharu ini kepada peminat,” katanya.

Ujar Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 42, dia akan bercerita lebih lanjut mengenai projek single terbabit selepas urusan berkaitan kontrak ditandatangani.

“Kalau tiada aral melintang, Dan Kini akan diedarkan oleh sebuah syarikat muzik antarabangsa,” kata artis berasal dari Pulau Pinang itu.

Awal tahun lalu, Nourul yang pernah berlakon dalam filem Sate tampil dengan album berbahasa Perancis berjudul Humaine. – Agensi

Artis yang pernah popular dengan lagu Kerana Terluka itu, minatnya terhadap bidang seni suara tidak pernah terhakis walaupun sibuk. – Agensi