Perkenal masakan Pakistan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Bagi memperkenalkan masakan Pakistan kepada rakyat Brunei Darussalam, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Negara Brunei Darussalam telah menganjurkan ‘Biryani Night’ di Restoran B.B.Q Tonight, Kiulap, hari ini.

Acara tersebut turut dihadiri oleh sebilangan masyarakat Brunei, para pegawai kerajaan dan ahli diplomatik.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan isteri.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Brunei Darussalam, Ahmed Ali Sirohey dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut berkata, Pakistan mempunyai lebih daripada 300 jenis hidangan di seluruh negara.

Pakistan merupakan sebuah negara yang mempunyai keluasan 800,000km persegi dengan jumlah penduduk seramai 211 juta orang.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan isteri ketika hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Ahmed Ali Sirohey menyampaikan cenderahati tanda penghargaan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.
Antara tetamu yang hadir bagi menikmati hidangan Biryani.

“Terdapat 36 jenis hidangan berasaskan nasi termasuk beberapa jenis Biryani dan setengah lagi hidangan Pulao selain hidangan kambing, makanan laut dan sayur-sayuran yang dimasak dengan rempah-rempah tempatan.

“Restoran Pakistan pada kebiasaannya menawarkan hidangan bufet hampir kepada 100 jenis hidangan. Ini boleh disaksikan di restoran-restoran empat bintang yang terdapat di Karachi, Lahore ataupun di Islamabad,” tambahnya.

Selain itu, makanan jalanannya juga sangat murah dan lazat yang mana ramai pelancong berpeluang untuk merasainya dan menghargai kualiti dan juga rasanya, jelas Ahmed Ali Sirohey.

Beliau seterusnya menjemput para tetamu yang hadir untuk berkunjung ke Pakistan dan merasai pelbagai jenis makanan istimewa di sana.

“Sebelum berkunjung ke Pakistan, anda boleh merasakan masakan Pakistan terlebih dahulu yang terdapat di restoran-restoran Pakistan negara ini,” tambahnya.

Pemangku pesuruhjaya tinggi Pakistan dan isteri, seterusnya menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan isteri.

Pada majlis itu, para jemputan disajikan dengan Sindhi Biryani dan Masala Biryani yang membuatkan mereka ingin mencuba lebih banyak lagi hidangan Pakistan yang lain.