Oleh Daniel Lim
BELAIT, 18 FEB – Sempena Sambutan Hari Kebangsaan (HK) ke-38, Restoran Makanan Laut Brotherhood telah memperkenalkan pelbagai menu baru hidangan barat dan membuat kunjungan ke Rumah Orang-orang Tua Seria sempena Tahun Baharu Cina (TBC), baru-baru ini.
David Chan selaku pemilik restoran berkenaan menjelaskan bahawa menu baharu itu adalah tambahan kepada pilihan menu makanan laut sedia ada sejak penubuhannya pada 2017.
Di samping itu, sempena HK ke-38 tahun ini restoran itu akan menyediakan diskaun sebanyak 10 peratus bagi menu yang baru mereka perkenalkan dan akan bermula pada hari sambutan HK (23 Februari) hingga pertengahan Mac nanti.
Sementara itu, pada TBC yang baru sahaja berlalu mereka telah membuat kunjungan ke Rumah Orang-orang Tua Seria. Semasa kunjungan tersebut, kakitangan restoran berkesempatan untuk meraikan hari terakhir sambutan TBC di sana dengan mengadakan jamuan makan tengah hari serta memberikan sampul merah kepada warga emas dan kakitangan di pusat berkenaan.
Di kesempatan itu, pihak restoran berharap aktiviti seumpamanya akan dapat membantu menceriakan lagi warga emas dan agar dapat meluangkan masa bersama mereka.