Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Ghanim International Corporation Sdn Bhd yang membawa jenama tempatan bruneihalalfoods dan dengan perkongsian dengan Syarikat Haji Bungsu bin Kamit dan Anak-anak, telah merasmikan kedai baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, hari ini.
Berikutan pembukaan dua kiosnya di Kementerian Kewangan dan Ekonomi; dan Hospital RIPAS masing-masing pada 2018 dan 2019, syarikat tersebut meneruskan pengembangannya dalam segmen pasaran ini bagi memperluas pengalaman bruneihalalfoods kepada penduduk tempatan, pelancong dan pengembara.
Pelancaran tersebut ditandai dengan pemotongan reben oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Dr Nur Rahman dan Pegawai Pentadbiran Syarikat Haji Bungsu bin Kamit dan Anak-anak, Hajah Cosnawaty binti Haji Jaman.
Juga hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad, Ahli Lembaga Ghanim International Corporation, Awang Ahmad Fathi bin Dato Paduka Haji Junaidi, dan pihak pengurusan Jabatan Penerbangan Awam.
Dalam ucapan alu-aluannya di majlis tersebut, Dr Nur Rahman menjelaskan bahawa lapangan terbang tersebut adalah lokasi strategik kerana mereka ingin membawa produk terbaik Brunei kepada dunia dan memberikan kemudahan kepada pelancong dan pengembara bagi memilih pelbagai produk tempatan yang berkualiti untuk dibawa ke luar negara.
“Dengan mempromosi bruneihalalfoods, kami mempromosi harta karun tersembunyi Brunei kepada dunia,” katanya.
Kedai berkenaan telah direka bentuk dengan warna dan cetakan jenama bagi memberikan pengalaman penjenamaan, promosi dan runcit yang unik.
Kedai bruneihalalfoods akan menawarkan pelbagai produk tempatan termasuk minuman, makanan ringan, produk beku, makanan siap sedia dan lain-lain yang disesuaikan terutamanya untuk kemudahan perjalanan termasuk perkhidmatan pembungkusan mesra perjalanan.