Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Perkenal video bahasa isyarat tentang ubat bagi OKU pendengaran

    KUALA LUMPUR – Menyedari kekangan komunikasi untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melancarkan perkhidmatan nilai tambah khusus untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran yang berkunjung ke institusi kesihatan itu.

    Pengarah PPUM Prof Dr Nazirah Hasnan berkata perkhidmatan baharu hasil kolaborasi bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) itu melibatkan penyediaan kod QR yang menawarkan video arahan dan pemakluman mengenai pengambilan ubat-ubatan dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) kepada golongan itu.

    “Daripada perbincangan awal (bersama MFD) kami dapati apa yang mereka (OKU pendengaran) perlukan ialah kaunseling dan penerangan bagaimana untuk mereka mengambil ubat dengan selamat dan memastikan pengambilan ubat dibuat secara teratur. 

    “Ini supaya mereka mendapat rawatan lebih baik dan juga golongan OKU pendengaran ini boleh mendapatkan khidmat kaunseling tentang kalau ada kesan-kesan komplikasi daripada ubat, apa yang perlu dibuat dan sebagainya,” katanya kepada Bernama. 

    Dr Nazirah berkata perkhidmatan nilai tambah itu yang pertama di negara ini dipelopori oleh PPUM diharapkan dapat menjadi asas kepada institusi kesihatan lain untuk turut serta dalam usaha menyantuni golongan OKU dalam penyediaan penjagaan kesihatan.

    “Kami harap perkhidmatan seumpama ini dapat diperluaskan juga di hospital-hospital lain dan bukan sahaja di klinik kerajaan malah juga di klinik swasta dan akan dihebahkan menerusi persatuan farmasi. 

    “Kami juga harap agar dapat membantu dan bekerjasama dengan farmasi di  Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membangunkan servis yang serupa,” katanya.  

    Majlis pelancaran perkhidmatan berkenaan dirasmikan oleh Dr Nazirah bersempena dengan sambutan Hari Farmasi Sedunia 2022 dan turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang dan Presiden MFD Mohamad Sazali Shaari. – Bernama

    Perkhidmatan nilai tambah khusus untuk golongan OKU pendengaran melibatkan penyediaan kod QR yang menawarkan video arahan dan pemakluman mengenai pengambilan ubat-ubatan dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) kepada golongan itu.
    OKU pendengaran memerlukan kaunseling dan penerangan bagaimana mereka mengambil ubat dengan selamat dan memastikan pengambilan ubat dibuat secara teratur.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...