Perkenan pelantikan, pertukaran dan penetapan pegawai kanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah mengurniakan perkenan bagi pelantikan, pertukaran dan penetapan jawatan beberapa pegawai kanan.

Pelantikan, pertukaran dan penetapan jawatan itu termasuklah Timbalan Setiausaha Tetap (Politik), Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Norhashimah binti Pengiran Mohd Hassan dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Tetap (Politik dan Pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa) Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Timbalan Setiausaha Tetap (Pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa), Hajah Norazlianah binti Haji Ibrahim dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Politik) Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Yusra bin Haji Mohd Salleh dipindah dan seterusnya dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa), Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri manakala Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak, ditetapkan dalam jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Pelantikan, pertukaran dan penetapan jawatan pegawai-pegawai ini berkuatkuasa mulai 31 Ogos 2020.