Monday, December 5, 2022
22.3 C
Brunei

-

Perkhemahan asah bakat keusahawanan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Dengan hasrat bagi membangun semangat keusahawanan dari segi pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan masyarakat di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya telah mengadakan Perkhemahan Keusahawanan BIMP-EAGA dengan majlis perasmiannya secara maya, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman. Turut menyertai majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.

Perkhemahan bertemakan ‘Keusahawanan dalam Era COVID-19’ berlangsung sehingga 8 Disember ini telah disertai oleh seramai 553 peserta terdiri dari golongan pelajar, tenaga pengajar dan ahli-ahli profesional dari negara anggota BIMP-EAGA termasuk mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) serta institusi pengajian tinggi swasta yang lain.

Dalam ucapan perasmian, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli antaranya menekankan, bahawa perkhemahan yang diadakan buat kali pertama berkenaan dalam BIMP-EAGA itu sememangnya diketengahkan bagi melengkapkan para peserta dengan kemahiran, pengetahuan dan segala keperluan asas untuk membangun dan mencipta nilai-nilai keusahawanan mereka sehingga mampu menjana peluang pekerjaan masing-masing.

Jelasnya, semasa kita berusaha membangun semula negara daripada impak COVID-19, BIMP-EAGA tetap komited berjuang untuk mencapai aspirasi dalam sama-sama mempercepatkan pembangunan sosial dan ekonomi. Oleh itu dengan pelancaran perkhemahan, para peserta akan mendapat kemahiran dan latihan yang diperlukan untuk membangun dan mencetuskan idea perniagaan yang dapat menjana sinar baharu peluang dan pertumbuhan. Beliau turut menegaskan dalam situasi menghadapi krisis kesihatan ini, adalah penting untuk mengetahui bahawa kunci kejayaan keusahawanan ialah inovasi dan kreativiti yang berterusan di mana ia boleh mencetuskan model perniagaan yang inovatif dan pendigitalan dalam menjalankan perniagaan untuk me-nembusi segala halangan.

Majlis turut dihadiri oleh Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz; Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; dan Pengarah PB, Lim Kian Boon. Majlis turut disertai oleh Pengerusi Livewire Sdn Bhd, Hajah Rosita binti Haji Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad; Ketua Pusat Inovasi Keusahawanan (EIC), Kementerian Pendidikan, Awang Adna Shatriremie bin Haji Abdul Rahman; Ketua Kluster Pendidikan Sosiobudaya, Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Mohd Abdoh bin Haji Awang Damit; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah; Ketua Pusat Pemudahcara BIMP-EAGA, Susanna Chew; dan se-kretariat-sekretariat kebangsaan negara anggota BIMP-EAGA.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menghadiri majlis perasmian tersebut secara maya, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

ASEAN: Tiga tindakan promosi pembangunan bandar mampan

FUKUSHIMA, 4 DIS – Mesyuarat keempat Peringkat Tinggi Rangkaian Bandar Pintar ASEAN-Jepun bermula di sini hari ini, dengan ASEAN mengetengahkan tiga tindakan utama untuk...

Australia dakwa suspek IS

- Advertisment -