Perkhemahan ‘kembali ke zaman sekolah’

Oleh Zulkamal Haji Kamis

Memang tidak dinafikan lagi, setiap kali mengadakan aktiviti pasti ia akan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti mencabar dan juga menarik, manakala kemeriahannya sentiasa diingat sampai bila-bila malah mengenangnya kembali, pasti akan membuat pesertanya tersenyum.

Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk mengikuti satu aktiviti yang diselenggarakan oleh Kelab Kamaliens bersama dengan pengasas utama kelab tersebut iaitu pelakon dan pelawak hebat dari Malaysia, Kamal Adli.

Matlamat utama aktiviti ini adalah untuk bersuai kenal bersama ahli-ahli kelab baharu dan mengeratkan lagi ikatan silaturahim bersama dengan ahli-ahli lama.

Di samping itu, ia juga aktiviti ramah mesra bersama Kamal Adli. Kali ini, jumlah penyertaan merupakan yang tertinggi berbanding sebelumnya, justeru, menjadikan aktiviti lebih meriah dan menyeronokkan.

Aktiviti yang dinamakan sebagai Fun Camp: Back to School ini diadakan di Asli Base Camp, Hulu Langat, Selangor, Malaysia selama tiga hari, dua malam. Lokasi perkhemahan ini sangat menarik, tenang dan penuh dengan kehijauan semula jadi. Memang sesuai untuk melakukan sebarang aktiviti perkhemahan.

Penulis bergambar ramai bersama dengan peserta perkhemahan dan juga Kamal Adli.
Kumpulan Kaki Ponteng semasa persembahan sketsa ‘Back to School’.

Panas terik tidak mematahkan semangat peserta untuk meneruskan cabaran.
Pasukan Kaki Ponteng sebelum melakukan Aktiviti Sukan Rakyat.

Pada hari pertama, penulis berpeluang untuk berkenalan dengan ahli-ahli kelab yang baharu dan berkumpul dengan kumpulan masing-masing. Peserta aktiviti dibahagikan kepada 10 kumpulan yang bertemakan ‘Back to School’.

Selepas sahaja aktiviti suai kenal atau ‘ice-breaking’, peserta dan juga penulis mengikuti aktiviti keagamaan iaitu Majlis Tahlil dan juga solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta diikuti dengan aktiviti-aktiviti yang lain.

Mencabar, uji keyakinan diri

Pada keesokan hari, keceriaan dimulakan dengan aktiviti zumba diikuti dengan aktiviti membina. Aktiviti tersebut memerlukan kerjasama dengan setiap ahli kumpulan untuk membina beberapa jenis ‘benda’ yang lazimnya dibuat untuk dalam persatuan pengakap. Paling menarik, ia dibuat dengan hanya menggunakan buluh dan juga tali.

Sejurus selepas itu, aktiviti semakin meriah dengan permainan Zipline, Obstacles dan juga Water Confident. Aktiviti ini boleh dikatakan sangat mencabar kerana ia mencabar keupayaan diri kita sendiri untuk melakukan permainan tersebut apatah lagi ketika aktiviti ini dijalankan, hujan turun dengan begitu lebat dan setiap peserta dibasahi dengan pasir dan juga tanah lumpur.

Kemudian, perkhemahan bersama itu dimeriahkan lagi dengan acara Sketsa yang bertema ‘Back to School’ di mana setiap peserta termasuk Kamal Adli sendiri memakai pakaian sekolah. Bagi penulis ia merupakan satu pengalaman yang nostagik kerana ia mengimbau kembali suasana pada zaman sekolah kita dahulu.

Setiap kumpulan mempamerkan corak persembahan yang menarik dan juga berbeza-beza. Antaranya pelajar yang ingin ponteng sekolah, menghargai guru, menghadiri uji bakat tarian dan sebagainya.

Ia merupakan aktiviti yang begitu menyeronokkan.

Pada hari seterusnya, aktiviti diteruskan dengan Treasure Hunt dan Sukan Rakyat. Apa yang dilihat di sini, kebanyakan aktiviti memerlukan kerjasama daripada setiap ahli kumpulan walaupun kumpulan penulis tidak memenangi hadiah kumpulan terbaik keseluruhan namun setiap detik dan kenangan yang dilalui sepanjang mengikuti aktiviti ini tidak akan mudah dilupakan.

Walaupun tujuan utama aktiviti ini adalah untuk mengenal dengan lebih dekat lagi siapakah sebenarnya Kamal Adli, namun sebenarnya, ia adalah untuk menjalinkan ikatan persahabatan antara sesama ahli walaupun dari negara yang berbeza. Begitu juga, mengenali personaliti Kamal Adli yang sentiasa bersahaja, terbuka, sporting, lucu dan sebagainya malah tidak serik untuk melayan kerenah peminat beliau yang pelbagai.