Perkhidmatan 2G dihentikan 1 Jun ini

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Sejak komunikasi mudah alih pertama kali diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam oleh Jabatan Telekom Brunei (JTB) pada tahun 1989 menggunakan Advanced Mobile Phone System (AMPS), ia telah mengubah cara kita berkomunikasi secara dramatik berbanding dengan telefon talian tetap alternatif.

Telefon bimbit membolehkan para pengguna untuk berkomunikasi ketika berjauhan dan popularitinya telah menguasai dunia, menurut kenyataan bersama yang diterima dari Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), di sini, hari ini.

Revolusi teknologi mudah alih di Brunei Darussalam menyaksikan pe-ningkatan sepanjang tahun dengan pengenalan Sistem Global bagi Komunikasi Bergerak (GSM) pada tahun 1995 oleh Datastream Technology Sdn Bhd (DST).

GSM adalah standard yang dibangunkan oleh European Telecommunications Standards Institute (ETSI) untuk protokol rangkaian selular digital generasi kedua (2G) yang digunakan oleh peranti mudah alih seperti telefon bimbit dan tablet.

Pada tahun 2005, perkhidmatan 3G diperkenalkan dengan ciri-ciri seperti panggilan video dan internet mudah alih dan kemudian dinaiktarafkan menjadi pengalaman internet yang lebih baik dan lebih pantas bagi penstriman video dan aplikasi telefon pintar dengan pengenalan teknologi 4G pada tahun 2014.

Setiap perkhidmatan komunikasi mudah alih generasi seterusnya memperkenalkan kelajuan tinggi dan meningkatkan pengalaman pengguna.

Bermula pada 1 September 2019, rangkaian empat penyedia telekomunikasi Brunei: Telekom Brunei Berhad (TelBru), DST dan Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif), serta Brunei International Gateway Sdn Bhd (BIG), telah digabungkan di bawah satu entiti iaitu UNN.

Sebagai persiapan bagi lonjakan teknologi seterusnya, perkhidmatan 2G akan dihentikan dan spektrum 2G akan digunakan kembali untuk penyediaan perkhidmatan mudah alih yang lebih canggih, sehingga membolehkan UNN memberikan standard kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan yang lebih tinggi.

Ini sejajar dengan projek pemodenan Rangkaian Akses Radio (RAN) UNN yang sedang berlangsung yang diumumkan pada 1 September 2020. Projek tersebut bertujuan untuk memodenkan infrastruktur telekomunikasi yang ada di negara ini untuk memberikan kesambungan, jalur lebar dan kualiti yang lebih tinggi serta lebih baik untuk negara sebagai persiapan untuk penggunaan 5G yang akan datang.

UNN secara beransur-ansur akan menghentikan operasi perkhidmatan 2G, dengan penghentian sepenuhnya pada 1 Jun ini. Ini memberi peluang kepada pelanggan 2G untuk beralih ke perkhidmatan teknologi tinggi iaitu 3G, 4G, dan akhirnya, 5G.

Setakat Januari 2021, hanya sebilangan kecil pelanggan 2G yang masih ada. Pelanggan berkenaan disarankan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan mereka untuk berpindah ke perkhidmatan 3G atau 4G dengan menukar kad SIM mudah alih mereka secepat mungkin untuk memastikan ketersediaan perkhidmatan mudah alih mereka.

Rakan-rakan dan ahli keluarga pelanggan 2G juga digalakkan untuk membantu pengguna yang kurang celik teknologi dalam peralihan mereka menggunakan perkhidmatan 3G atau 4G. Selain itu, UNN akan bekerjasama rapat dengan semua entiti untuk memastikan bahawa pelanggan sedar dan dimaklumkan sebelum pemberhentian perkhidmatan 2G.

Langkah-langkah akan diambil untuk memastikan sebarang impak terhadap perkhidmatan adalah minimum.