Perkhidmatan awam dibenarkan beroperasi 50% kapasiti pekerja

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Kesemua perkhidmatan awam di kementerian-kementerian adalah dibenarkan untuk dibuka dengan hanya 50 peratus jumlah kapasiti pekerjanya semasa fasa peralihan.

Walau bagaimanapun, para kakitangannya hendaklah mempunyai vaksinasi lengkap, manakala bagi orang yang hadir hendaklah juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Di samping itu, sesebuah premis berkenaan adalah juga dikehendaki untuk mempamerkan jumlah kapasitinya pada sesuatu masa itu.

Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian yang berlangsung di Kementerian Kesihatan petang tadi.

Yang Berhormat Dato turut menambah bahawa berhubung dengan SOP-SOP dalam perkara ini, ia akan dimaklumkan dan diterangkan lagi kepada orang ramai dalam masa yang terdekat ini.