Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Dalam menyediakan perkhidmatan pentadbiran berkualiti tinggi bagi masyarakat yang saling berhubungan, adalah amat penting bagi perkhidmatan awam untuk mempunyai sebuah kerajaan pintar dan asasnya haruslah pengurusan sumber manusia (HR) pintar.
“Pada masa ini, kita berhadapan zaman HR 3.0 yang melangkaui Strategik HR, transformasi digital dalam sektor awam telah menjadi salah satu cabaran utama bagi kerajaan di serata dunia.”
Berlatarbelakangkan itu, dengan mengambil pendekatan kontekstual meluas memberikan ruang lebih besar untuk menemui kaedah alternatif bagi menyelesaikan masalah, jelas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr Norfarizal bin Othman ketika berucap semasa perasmian Program Pembangunan Kepimpinan (KDP) Brunei-Singapura-Malaysia ke-14 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), hari ini.
Beliau menekankan bahawa adalah mustahak bagi perkhidmatan awam masa kini untuk membangunkan pemimpin-pemimpinnya secara holistik bagi menguruskan cabaran-cabaran dasar yang kompleks serta menangani jurang kemahiran dalam tenaga kerjanya.
“Perkhidmatan awam harus bersedia bagi dunia pasca COVID dan digital yang semakin bertambah,” tambah Dr Norfarizal.
Beliau berkata bahawa program selama 12 hari itu, dihasratkan untuk memberikan inspirasi dan pandangan ke arah memodenkan perkhidmatan awam menerusi pengurusan perkhidmatan awam yang lebih baik.
Program bermatlamat untuk menjana pemikiran ke arah membangunkan kesiapsiagaan mental dalam menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan serta menyediakan peluang bagi mengembangkan lagi kemahiran kepimpinan melalui penyertaan dan penglibatan aktif.
“Kita memerlukan penjawat awam yang lincah, yang boleh menyesuaikan diri cepat kepada perubahan pantas dan berusaha ke arah penambahbaikan berterusan.”
Dr Norfarizal menyeru para peserta program untuk merebut peluang bagi mendapatkan pandangan baharu itu serta memanfaatkan rangkaian yang bakal mereka bangunkan sepanjang program.
Disertai oleh seramai 29 orang pegawai perkhidmatan awam, Program LDP Tiga Hala itu akan dikendalikan selama 12 hari bermula hari ini hingga 13 Oktober dengan membawa tema A Future Ready Public Service.
Program menyediakan peluang kepada para peserta dari tiga buah negara iaitu Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Republik Singapura untuk belajar dan berkongsi amalan terbaik daripada satu sama lain dalam mempersiapkan inisiatif serta dasar ke arah sebuah perkhidmatan awam yang dinamik dan berdaya tahan bagi mencapai agenda serta matlamat negara.
Ia dihasratkan untuk membangunkan pemimpin yang berupaya untuk menukarkan strategi kepada tindakan serta juga mengukuhkan rangkaian individu dan mengukuhkan lagi kerjasama masa hadapan antara ketiga-tiga buah negara itu.