Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Walaupun jambatan penghubung ke Daerah Temburong telah dibuka, perkhidmatan bot penumpang bagi perjalanan dari Bandar Seri Begawan ke Bangar dan sebaliknya, akan masih beroperasi seperti biasa dengan beberapa langkah seperti pengurangan had penumpang.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof ketika mengulas persoalan yang ditujukan semasa Sidang Media Mengenai Situasi Terkini COVID-19 pada 16 Mac lalu.
Beliau menerangkan lanjut bahawa bagi mendukung nasihat dan arahan daripada Kementerian Kesihatan, kementeriannya melalui Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) dan para pengusaha perahu bekerjasama secara berterusan dalam penyediaan gel pencuci tangan dan sabun pencuci tangan di terminal perahu Bandar Seri Begawan dan Terminal Perahu dan Penumpang Bangar bagi kegunaan para penum-
pang sebelum menaiki perahu memulakan perjalanan.
Di samping itu, para pengusaha perahu juga melaksanakan pembersihan perahu-perahu sebelum dan selepas penumpang-penumpang menaiki perahu masing-masing.
Manakala itu, mengulas mengenai persoalan berhubungan dengan perkhidmatan pengangkutan awam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib berkata bahawa perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas awam, perkhidmatan private hire seperti teksi dan DART, adalah beroperasi seperti biasa dengan mengambil kira beberapa langkah selaras dengan nasihat serta arahan dari Kementerian Kesihatan.
Antara langkah-langkah yang dilaksanakan, jelasnya, adalah untuk mengamalkan penjarakkan sosial iaitu dengan mengurangkan kapasiti muatan di dalam bas dan duduk secara alternate iaitu memberi ruang yang cukup antara penumpang, menyediakan gel pencuci tangan di dalam kenderaan-kenderaan pengangkutan awam dan memeriksa suhu badan penumpang sebelum menaiki kenderaan pengangkutan awam.
Orang awam dinasihatkan untuk membuat perjalanan yang penting sahaja (essential travel) berkaitan dengan penggunaan pengangkutan awam.
Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi juga memohon kerjasama orang ramai khususnya penumpang pengangkutan awam untuk memberikan kerjasama dengan mematuhi garis pandu pengawalan jangkitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.