Perkhidmatan rawatan ‘tak bertauliah’ diserbu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Tiga lokasi berasingan yang disyaki menjalankan aktiviti khidmat rawatan perubatan dan kesihatan yang bercanggah dengan perundangan perubatan dan amalan perubatan di negara ini telah diserbu oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

Lokasi-lokasi berkenaan melibatkan kawasan Kampung Bukit Udal, Kampung Lamunin, Tutong dan Kampung Pengkalan Sibabau Mentiri di mana operasi bersepadu dijalankan oleh Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, di sini, hari ini, operasi dijalankan berikutan maklumat yang diperolehi berkenaan perkhidmatan rawatan yang dipercayai dilakukan oleh seorang individu yang tidak mempunyai kelulusan mahupun latihan yang khusus serta tidak mempunyai kebenaran, pendaftaran serta lesen perniagaan dan produk daripada mana-mana pihak berwajib di negara ini.

Semasa serbuan seorang perempuan warga tempatan berumur 29 tahun telah ditahan berserta beberapa produk ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik, serta barang peralatan rawatan dan alat-alat suntikan dipercayai yang digunakan untuk menjalankan rawatan klinikal terhadap pelanggan.

Berikutan itu, peralatan rawatan, ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik yang digunakan semasa memberikan proses rawatan kepada pelanggan telah dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

PPDB dalam kenyataannya menyarankan orang ramai untuk tidak terpedaya dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang memberikan rawatan perubatan dan kecantikan yang tidak mempunyai lesen dan persijilan yang sahih dan diiktiraf oleh mana-mana pihak berwajib di negara ini, yang sering dipromosikan melalui media sosial.

Jika didapati individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan memberikan perkhidmatan berkenaan tanpa mendapatkan persijilan dan pengiktirafan yang sahih, pihak agensi penguatkuasaan yang berkenaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.