Perkhidmatan Dabbawallahs tergendala

NEW DELHI, 10 Julai – Tidak mengira cuaca cerah atau hujan, ‘Dabbawallahs’ (perkhidmatan penghantaran makanan) yang menjadi ikonik bandar raya Mumbai, tetap meneruskan penghantaran demi memastikan tiada sebarang gangguan dalam perkhidmatan mereka.

Bagaimanapun, bencana alam yang berlaku hari ini telah menyebabkan perkhidmatan kepada pengguna mengalami gangguan.

Hujan lebat pada sebelah pagi di Mumbai, memaksa Dabbawallahs membatalkan perkhidmatan penghantaran, berlainan dengan penekanan yang diberikan oleh syarikat berkenaan untuk mengatasi apa jua halangan dalam perkhidmatan mereka.

“Kami tidak dapat menghantar pesanan pagi ini, kerana seluruh bandar digenangi air. Pekerja kami sukar untuk bergerak menggunakan basikal memandangkan air sehingga paras lutut,” kata jurucakap Persatuan Dabbawalahs Mumbai, Subhash Talekar kepada media, lapor agensi berita Xinhua.

Keadaan itu amat jarang sekali berlaku kerana selama ini, Dabbawallahs dikenali tidak pernah menghentikan perkhidmatannya, sama ada pada musim panas, monsun mahupun musim sejuk.

Dabbawalahs merupakan perkhidmatan penghantaran makanan tengahari yang disediakan di rumah dan restoran untuk dihantar kepada mereka yang bekerja. – Bernama