Monday, March 27, 2023
29.9 C
Brunei

-

Perkhidmatan dua klinik pergigian disambung

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Jabatan Perkhidmatan Pergigian memaklumkan bahawa Klinik Pergigian di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah (PAPHMHB), Gadong akan mula dibukakan kembali esok, manakala Klinik Pergigian di Klinik Kesihatan Sungai Liang, Kuala Belait akan mula beroperasi pada 18 April.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, jabatan itu menjelaskan bahawa rawatan pergigian rutin akan diberikan di klinik pesakit luar pergigian tertakluk kepada pemeriksaan saringan di kaunter-kaunter yang disediakan di lokasi-lokasi berkenaan dan bagi rawatan susulan adalah melalui perjanjian.

Apabila klinik-klinik pergigian tersebut dibuka nanti, ia akan beroperasi dari 8 pagi hingga 2 petang.

Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan bagi melindungi kakitangan kesihatan dan pesakit-pesakit yang berkunjung ke klinik-klinik pergigian, pesakit-pesakit akan diarahkan untuk melakukan ujian pantas antigen (ART) terlebih dahulu sebelum sesi rawatan dimulakan dengan pemantauan pekerja kesihatan di Jabatan Perkhidmatan Pergigian atau ujian swab PCR mengikut
keperluan.

Orang ramai diharapkan untuk bersabar kerana waktu menunggu yang dijangkakan akan bertambah kerana keperluan membuat ujian ART bagi semua perjumpaan di klinik pergigian.

Dalam kenyataan itu, Jabatan Perkhidmatan Pergigian ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi.

Sementara itu, perkhidmatan konsultasi bagi pesakit-pesakit pergigian melalui talian telefon dan pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp masih lagi diteruskan.

Talian-talian berkenaan telah mula beroperasi pada 16 Ogos 2021 sehingga sekarang.

Bagi perkhidmatan konsultasi telefon, pesakit bolehlah menghubungi talian 8117981 dan 8117936, manakala bagi perkhidmatan konsultasi WhatsApp bolehlah menghubungi talian 8117635.

Kedua-dua perkhidmatan tersebut beroperasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu, dari 8 pagi hingga 2 petang.

Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan sebagai kaedah alternatif untuk mendapatkan nasihat pergigian bagi mengelakkan kunjungan yang tidak diperlukan sebagai langkah mengurangkan interaksi di antara orang ramai dengan kakitangan jabatan berkenaan bagi membendung penularan wabak COVID di Negara Brunei Darussalam.

Untuk maklumat lanjut, orang awam menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau Talian Darussalam 123.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Menteri luar NZ luah kerisauan terhadap china

BEIJING, 26 MAC - Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta telah menyatakan kebimbangan kepada China mengenai sebarang peruntukan bantuan mematikan untuk menyokong Rusia dalam...
- Advertisment -