Perkhidmatan EDCP dibuka

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser (EDCP) telah dirasmikan semalam di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) sebagai usaha mengurangkan beban kanser di Negara Brunei Darussalam dan menggalakkan pengesanan kanser di tahap yang lebih awal.

Hadir merasmikan pembukaan Perkhidmatan EDCP tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Lembaga Pengarah PJSC.

Juga hadir dan seterusnya sama-sama merasmikan perkhidmatan berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Jaafar selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah PJSC.

Perkhidmatan EDCP merupakan perkhidmatan yang baharu ditubuhkan di bawah Pusat Kanser Brunei (TBCC), PJSC dengan misi untuk mengurangkan beban kanser di negara ini termasuklah kelewatan pengesanan kanser.

Perkara ini akan dapat dicapai melalui pengesanan awal dan program pemeriksaan di pusat yang penuh dedikasi berkenaan.

Sebagai tambahan perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan dalam menyediakan pemeriksaan kanser dan perkhidmatan penilaian bagi rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, perkhidmatan EDCP bertujuan untuk menyelaras penjagaan individu dan merujuk kepada pengesanan awal dan pencegahan kanser di samping untuk menyediakan kaunseling mengenai gaya hidup serta menjadi sumber untuk mendidik serta membantu mengurangkan risiko kanser dan juga mencegah kanser.

Majlis perasmian turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan-rakan kongsi yang bekerjasama bagi perkhidmatan EDCP.

Selepas merasmikan perkhidmatan berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew juga menandatangani plak Perkhidmatan EDCP sebelum dibawa melawat kemudahan yang terdapat di Perkhidmatan EDCP dan petak pameran yang disediakan bersama oleh rakan-rakan kongsi termasuk-lah Jabatan Perkhidmatan Radiologi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Unit Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital RIPAS, Pusat Promosi Kesihatan Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Makmal Kementerian Kesihatan dan Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC).

Perkhidmatan EDCP menawarkan perkhidmatan konsultasi dan klinik pengimbasan kanser yang turut menumpukan pendidikan kesihatan serta penilaian risiko kanser bagi para individu yang mempunyai risiko yang tinggi dan/atau mempunyai sejarah dan latar belakang keluarga yang menghidap kanser.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham merasmikan Perkhidmatan EDCP di PJSC.