SAN FRANCISCO, 15 JUN – Bermula kelmarin, Microsoft tidak akan lagi menyokong pelayar web Internet Explorer (IE) yang pernah didominasi dan digemari oleh sebilangan besar orang sebelum ini.
Aplikasi berusia 27 tahun itu kini menyertai telefon BlackBerry, modem dail dan Palm Pilots dalam sejarah teknologi.
Penutupan IE bukanlah satu kejutan. Setahun yang lalu, Microsoft berkata bahawa ia akan menamatkan IE pada 15 Jun 2022, mendorong pengguna untuk menggunakan pelayar web Edgenya, yang dilancarkan pada 2015.
Syarikat tersebut juga menjelaskan bahawa sudah tiba masanya bagi mereka menutup perkhidmatan.
“Bukan sahaja Microsoft Edge merupakan pelayar web yang lebih pantas, selamat dan moden daripada Internet Explorer, tetapi ia juga mampu menangani kebimbangan utama: keserasian bagi laman sesawang dan aplikasi lama,” kata pengurus besar Microsoft Edge Enterprise, Sean Lyndersay dalam catatan blog Mei 2021.
Microsoft mengeluarkan versi pertama Internet Explorer pada tahun 1995, era melayari web yang didominasi oleh pelayar pertama yang popular secara meluas, Netscape Navigator. Pelancarannya ketika itu menamatkan platform Navigator.
Manakala pada tahun 1997, Jabatan Kehakiman menyaman Microsoft kerana melanggar dekri persetujuan awal dengan mengehendaki pembuat komputer menggunakan pelayarnya sebagai syarat menggunakan Windows.
Pengguna, sementara itu, mengadu bahawa perkhidmatan IE adalah lambat, terdedah kepada masalah teknikal dan penggodaman. Bahagian pasaran IE, yang pada awal 2000an melebihi 90 peratus, mula merosot apabila pengguna menemui alternatif yang lebih menarik.
Hari ini, pelayar web Chrome telah mendominasi dengan kira-kira 65 peratus bahagian pasaran pelayar web di seluruh dunia, diikuti oleh Safari Apple dengan 19 peratus, menurut syarikat analitik Internet Statcounter. Sementara itu, pengganti IE, Edge, ketinggalan dengan kira-kira 4 peratus, tepat di hadapan Firefox. – AP