Perkhidmatan kaunter di bawah Jabatan Bandaran BSB dibuka Isnin, Khamis

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Berikutan situasi terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) memaklumkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan-perkhidmatan kaunter di bawah jabatan itu hanya dibuka dua hari dalam seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis pada waktu tertentu.

Menurut kenyataan dari Jabatan Bandaran BSB, hari ini, Kaunter Bahagian Kewangan yang mengendalikan perkhidmatan bagi pembayaran petak tamu selera, pembayaran kompaun sampah dan pembayaran sebut harga akan beroperasi bermula jam 8:15 pagi hingga 12 tengah hari.

Manakala, kaunter bagi Unit Letak Kereta dan Pengurusan Kompleks Tamu Kianggeh, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Elektrik akan menguruskan perkhidmatan pembayaran tuntutan letak kereta dan pembayaran sewa bangku/kiosk Kompleks Tamu Kianggeh akan beroperasi dari jam 8:15 hingga 11:00 pagi.

Sementara itu kaunter Pasar Gadong, Bilik Tingkat Atas, Bangunan Pasar Gadong yang mengendalikan pembayaran sewa bangku/petak/ruang Pasar Gadong akan bermula pada 8:15 hingga 10 pagi.

Dalam pada itu bagi perkhidmatan pembayaran cukai bangunan adalah disarankan untuk menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian melalui aplikasi telefon pintar perbankan iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Bank Baiduri.

Bagaimanapun kemudahan ‘drop box’ juga disediakan bagi pembayaran cukai bangunan menggunakan cek atas nama kerajaan Negara Brunei Darussalam di tingkat bawah Bangunan Jabatan Bandaran BSB.

Sementara kaunter-kaunter perjumpaan di bahagian-bahagian adalah ditutup buat sementara waktu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Untuk perhatian pihak jabatan ini juga akan mengehadkan jumlah keramaian pada satu masa dan memastikan setiap yang berurusan hendaklah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, termasuklah pemeriksaan suhu badan, mengimbas kod QR setiap kali masuk dan juga keluar dari bangunan dan penggunaan pelitup muka.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi hotline jabatan +673 7179900 (Unit Korporat, Perhubungan Awam dan Penyelidikan) dan +673 729112 (Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang).