Perkhidmatan kaunter JIPK ditangguhkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Perkhidmatan untuk menyambung pas kerja, pas lawatan sosial, profesional, perniagaan atau pun kad pengenalan pintar serta permohonan baharu kelahiran, kematian, anak angkat dan sepertinya ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“Mana-mana pas imigresen yang mansuh dalam tempoh penutupan kaunter perkhidmatan tidak akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang.”

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika mengulas kebimbangan yang dikongsikan oleh orang ramai khususnya warga
asing mengenai penutupan kaunter-kaunter perkhidmatan di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian, semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu, bagi perkhidmatan essential atau diperlukan seperti visa kerja baharu, pembatalan pas kerja ataupun permohonan visa, semua butiran hubungan yang diperlukan oleh orang ramai dapat diperoleh menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa KHEDN telah mengeluarkan siaran akhbar yang memaklumkan orang ramai mengenai penutupan kaunter-kaunter perkhidmatan di Ibu Pejabat JIPK serta cawangan Kuala Belait buat sementara waktu sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Siaran akhbar itu juga menjelaskan bahawa bagi cawangan di Tutong dan Temburong, ia dibuka dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi. Orang ramai yang ingin berurusan di cawangan-cawangan berkenaan perlu membuat tempahan, jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, orang ramai boleh merujuk kepada siaran-siaran akhbar yang dikeluarkan oleh kementerian-kementerian berkenaan berhubung dengan perkhidmatan yang ditawarkan melalui laman-laman sesawang kementerian-kementerian yang berkenaan.

Di samping itu, orang ramai yang mempunyai aplikasi Telegram, mereka boleh mendapatkan pautan web di mana kesemua siaran akhbar daripada kementerian-kementerian disediakan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika memberikan penerangan semasa sidang media di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani