Perkhidmatan klinik vaksinasi bergerak diteruskan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak akan diteruskan lagi di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Asam pada 19 dan 21 November.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan bahawa esok, perkhidmatan tersebut akan diadakan dari 9 pagi sehingga 12 tengah hari, manakala pada 21 November, ia dijalankan dari 9 pagi sehingga 2:30 petang.

Ia adalah khusus bagi penduduk di bawah tadahan pusat kesihatan berkenaan termasuk Mukim Lumapas, Kampong Ayer dan persekitaran, yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 dan bagi penduduk kampung yang dijadualkan untuk vaksinasi dos kedua.

“Penduduk setempat yang ingin mendapatkan suntikan COVID-19 bolehlah datang terus secara walk-in dengan membawa kad pengenalan atau pasport, kad BruHIMS (atau nombor), jika ada dan Kad Vaksinasi COVID-19 iaitu hanya bagi mereka yang menerima suntikan dos kedua,” jelas beliau semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan kenderaan untuk dibawa ke klinik, mereka bolehlah memaklumkan kepada ketua kampung dengan memberikan maklumat seperti nama penuh, alamat, nombor kad pengenalan dan nombor telefon,” tambah Yang Berhormat Dato.

Manakala bagi mereka yang tidak mampu untuk hadir sendiri ke pusat kesihatan berkenaan disebabkan masalah kesihatan atau kesukaran bergerak, beliau menyarankan agar mereka mendaftar atau didaftarkan melalui ketua kampung bagi urusan vaksinasi di rumah masing-masing.