Perkhidmatan klinik vaksinasi bergerak memberangsangkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang dijalankan selama dua hari di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Asam telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Seramai 332 orang penduduk setempat telah tampil bagi mendapatkan vaksin pertama mereka di sana.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sesi vaksinasi bermula pada 22 Oktober lalu yang berjalan dari 9 pagi hingga 12 tengah hari dan diteruskan lagi hari ini, dari 9 pagi sehingga 2:30 petang.

Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak tersebut bertujuan untuk mempermudah penduduk setempat khususnya penduduk di Kampong Ayer dan kawasan sekitarnya untuk menerima vaksin COVID-19 tanpa memerlukan mereka untuk pergi ke lokasi yang jauh.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjawab soalan pada sidang media kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani