Perkhidmatan komprehensif untuk pesakit demensia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Penduduk Negara Brunei Darussalam tidak terlepas daripada risiko menghidap demensia di mana pada 2017, dianggarkan lebih kurang 2,000 orang penduduk telah mengalami penyakit berkenaan.

Demensia mempunyai implikasi bukan hanya kepada individu atau penjaga tetapi ia juga mempunyai impak sosial dan ekonomi yang signifikan dari segi kos perubatan dan penjagaan sosial secara langsung serta kos penjagaan yang tidak formal.

“Pada 2015, jumlah kos demensia di kalangan masyarakat global dianggarkan mencecah sehingga AS$818 bilion iaitu bersamaan dengan 1.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di peringkat global.”

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Pelancaran Program Mukim Sihat bagi Mukim Serasa yang berlangsung di Pusat Kesihatan Muara, hari ini.

Beliau menambah bahawa di Brunei, ramai pesakit demensia terdiri daripada golongan warga emas dan kementeriannya dalam langkah penjagaan kesihatan dan kesejahteraan penduduk negara ini telah dan akan terus menyediakan perkhidmatan komprehensif dan berkualiti terhadap golongan yang memerlukan.

“Antaranya ialah perkhidmatan perubatan geriatrik melalui perkhidmatan in-patient dan out-patient yang disediakan di hospital-hospital kerajaan, perkhidmatan komuniti atau masyarakat seperti home-based nursing, geriatric and palliative nurse community visit, palliative help line (talian bantuan paliatif) dan juga, perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat Amal Cerah Sejahtera (PACS) bertempat di Kampung Subok, Daerah Brunei dan Muara, yang berfungsi sebagai pusat rehabilitasi bagi pesakit-pesakit warga emas untuk mendapatkan rawatan kesinambungan selepas keluar daripada hospital,” jelasnya.

Demensia juga boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan antara pesakit dan ahli keluarga atau penjaga mereka, tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham.

“Tekanan fizikal, emosi dan kewangan boleh menimbulkan tekanan hebat kepada keluarga dan penjaga, oleh itu, sokongan daripada sistem kesihatan, sosial, kewangan dan perundangan amat diperlukan.

“Pada lazimnya, kurang kesedaran dan pemahaman tentang demensia, menyebabkan stigma dan halangan untuk diagnosis dan penjagaan,” ulasnya lagi.

Menyentuh mengenai faktor risiko demensia, beliau berkata bahawa faktor terbesar bagi yang mengalami demensia ialah usia di mana peningkatan usia akan menyebabkan seseorang lebih cenderung untuk mendapat penyakit berkenaan, akan tetapi faktor risiko lain bagi demensia adalah sama seperti penyakit tidak berjangkit yang lain serta ia dapat dielakkan.

Dengan pengubahsuaian kepada faktor risiko seperti kurang melakukan kegiatan fizikal, pengambilan pemakanan tidak sihat dan merokok, penyakit demensia boleh dicegah pada usia muda lagi.

“Selain itu, kajian juga mendapati bahawa mengekalkan kesihatan mental yang baik juga boleh membantu mengurangkan risiko penyakit demensia. Penyakit demensia bersifat progresif dan tiada penawar atau ubat yang boleh merawatnya; oleh yang demikian cara yang terbaik untuk me-ngurangkan risiko seseorang itu mendapat demensia ialah melalui amalan cara hidup sihat,” tambahnya.