KUALA LUMPUR, 29 Jan – Perkhidmatan kereta api yang akan siap tidak lama lagi dan pengembangan Terminal 2, Subang, akan membolehkan Skypark Terminal menarik lebih ramai pengunjung dengan menyediakan kaedah perjalanan yang lebih mudah dan kos efektif.
Pengarah Eksekutif Subang SkyPark Sdn Bhd Tan Sri Ravindran Menon berkata syarikat berterima kasih kepada pengunjung yang menggunakan SkyPark Terminal sebagai lapangan terbang pilihan mereka, terutamanya semasa musim perayaan Tahun Baru Cina ini.
“SkyPark Terminal menyambut Tahun Baharu Cina dengan menyediakan pelbagai tawaran menarik kepada pengunjung.
“Ini adalah masa yang menarik bagi SkyPark Terminal memandangkan kami dalam usaha menuju ke arah mencapai matlamat menerima lima juta penumpang menjelang 2020,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Ravindran berkata tahun Ayam dijangka menjadi tahun yang menarik bagi lapangan terbang paling sibuk di Malaysia, apabila siapnya perkhidmatan kereta api, KTM Rail Link pada Jun 2017.
“Rancangan pengembangan Terminal 2 yang akan diumumkan tidak lama lagi juga akan membantu pertumbuhan lapangan terbang ini,” katanya.
Tumpuan SkyPark Terminal terhadap memudahkan perjalanan ke dan dari lapangan terbang itu telah menjadi penyumbang utama kepada kejayaannya.
Terletak hanya 30 minit perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur dan boleh diakses melalui kebanyakan lebuh raya utama, ia merupakan pilihan yang mudah untuk perjalanan ke beberapa destinasi utama Malaysia dan Singapura. – Bernama