Perkhidmatan pengangkutan awam dibuka separuh

BEIJING, 22 MEI – Shanghai telah membuka semula sebahagian pengangkutan awamnya hari ini, menandakan pembukaan semula secara berperingkat selepas hampir dua bulan ditutup kepada dunia luar.

Bandar terbesar China itu hampir ditutup keseluruhannya sejak April, apabila ia menjadi titik penularan dan yang terburuk pernah dihadapi sejak pandemik mula dikesan.

Berbeza dengan negara-negara ekonomi yang lain, Beijing bertegas melaksanakan langkah sifar COVID bagi menghentikan penularan, meskipun ia semakin sukar ekoran kemunculan varian Omicron yang mudah berjangkit.

Tetapi ketika jangkitan baharu semakin berkurangan, Shanghai secara berhati-hati melonggarkan sekatannya, dengan beberapa buah kilang kembali beroperasi semula dan penduduk di kawasan-kawasan berisiko rendah kini dibenarkan untuk keluar rumah. – AFP

Penduduk Shanghai keluar menunggang basikal selepas mereka kembali dibenarkan untuk meninggalkan kediaman setelah berada di bawah perintah berkurung sejak April. – AFP