Perkhidmatan penghantaran makanan penuhi keperluan pelanggan

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Dengan jumlah kes positif COVID-19 yang tidak menentu dalam sehari, kebanyakan rakyat Brunei memilih untuk teranah di rumah dan hanya keluar apabila perlu.

Dengan itu, ramai yang memilih perkhidmatan penghantaran makanan dan tidak keluar rumah untuk mengambil sendiri tempahan mereka.

Restoran Soto Tinis merupakan salah satu syarikat yang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dan bawa balik untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pekerja juga akan menghubungi pelanggan sebelum ketibaan mereka dan hanya menerima transaksi dalam talian serta akan meletakkan makanan di atas meja yang disediakan pelanggan di luar rumah.

Pelanggan yang memilih untuk mengambil sendiri tempahan mereka akan mendapati makanan mereka diletakkan di atas meja yang disusun sebagai penghadang bagi menetapkan jarak antara kakitangan restoran dan pelanggan.

Pelanggan menyediakan meja di luar rumah bagi memudahkan pekerja perkhidmatan penghantaran makanan meletakkan makanan yang dipesan.
Perkhidmatan penghantaran juga perlu mematuhi SOP.

Sementara itu, pelanggan yang membuat tempahan pada masa itu juga akan perlu menunggu di dalam kereta sementara makanan mereka disediakan. Transaksi dalam talian juga digalakkan, tetapi jika pelanggan mahu membayar secara tunai, wang berkenaan akan disanitasi.

Sementara itu, Chartered Eagle Cafe, yang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan, juga mengikuti protokol ketat yang sama dengan turut menggalakkan pelanggan membayar secara dalam talian.

Salah seorang pelanggan yang kerap membuat tempahan penghantaran makanan sejak gelombang kedua penularan COVID-19, Haji Azman berkata bahawa beliau memilih perkhidmatan itu untuk tidak merisikokan kesihatannya dan keluarganya termasuk saudara warga emas.

Menurutnya, penghantaran makanan adalah pilihan yang paling selamat.

“Kami meletakkan rak kecil dekat pintu depan rumah bagi pekerja penghantaran meletakkan makanan. Kami juga cuba membuat pembayaran tanpa tunai semasa wabak ini,” tambahnya.

Antara langkah keselamatan yang diambilnya adalah menyahkuman bungkusan makanan berkenaan sebelum membawanya masuk ke dalam rumah.