Perkhidmatan pos turut terjejas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Perkhidmatan pos dan kurier juga tidak terlepas daripada impak pandemik COVID-19 yang telah mencatatkan penurunan drastik bagi paket kecil bermula 2020 iaitu sebanyak 65 peratus dari tahun sebelumnya.

Jumlah bungkusan yang terendah ialah sebanyak 5,254 pada 2020 dan penurunan bagi perkhidmatan EMS sebanyak 49 peratus dari 2016 ke 2020.

Perangkaan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, baru-baru ini, menunjukkan penurunan sebanyak 58 peratus bagi pengendalian mel surat dari 2016 ke 2020 dan jumlah ini termasuk pengendalian mel tempatan, mel keluar serta mel masuk.

Walaubagaimanapun, mel surat tempatan adalah yang tertinggi sekali dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos jika berbanding dengan perkhidmatan lain, iaitu hampir 90 peratus.

Mengenai dengan pengendalian paket kecil pula, secara keseluruhan dari 2016 hingga 2019, paket kecil menunjukkan kenaikan sebanyak 34.3 peratus.

Penurunan drastik dicatatkan bermula pada 2020 iaitu sebanyak 65 peratus dari tahun sebelumnya disebabkan impak penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, mel masuk telah mencatatkan jumlah tertinggi pada lima tahun kebelakangan.

Bagi bungkusan, jumlah keseluruhan pengendalian tertinggi dicatatkan pada 2016 iaitu sebanyak 17,302 bungkusan, manakala pada 2020 menunjukkan jumlah keseluruhan yang terendah sebanyak 5,254 bungkusan selepas Negara Brunei Darussalam dilanda wabak COVID-19.

Akan tetapi secara keseluruhannya, trend penurunan sebanyak 70 peratus dapat dilihat dari 2016 sehingga 2020 bagi kesemua jumlah bungkusan.

Mengenai EMS-Speedpost dan Poslaju sejak 2016 hingga Julai 2021, perkhidmatan EMS telah mencatatkan trend penurunan iaitu sebanyak 49 peratus dari 2016 ke 2020.

Pengendalian keseluruhan tertinggi EMS adalah pada 2016 iaitu sebanyak 102,218 dan terendah pada 2020 iaitu sebanyak 46,368. Pada tahun ini, jumlah keseluruhan EMS sehingga Julai 2021 adalah sebanyak 23,288.

Dari segi jumlah keseluruhan syarikat yang berdaftar untuk menyediakan perkhidmatan kurier pula konsisten sejak 2016 hingga tahun 2018 iaitu sebanyak lapan buah sahaja, ini diikuti dengan tambahan empat buah syarikat mulai 2019.

Kenaikan penghantaran barangan melalui perkhidmatan kurier dicatatkan pada 2016 ke 2020 iaitu sebanyak 49 peratus. Jumlah terbanyak adalah pada 2020 iaitu 370,643 dan terendah pada tahun 2017 sebanyak 234,267.