Perkhidmatan teksi, tuk-tuk terhenti ketika lonjakan COVID-19

BANGKOK – Tuk-tuk dan teksi berwarna-warni yang sebelum ini mencelah-celah di tengah-tengah kesibukan trafik Bangkok tersadai di garaj apabila gelombang baharu koronavirus melenyapkan harapan untuk bangkit untuk ekonomi Thailand yang bergantung pada pelancongan.

Negara berkenaan kini sedang berdepan gelombang pandemik paling buruk selepas berjaya membendung COVID-19 apabila ia pertama kali muncul tahun lalu. Bangkok berdepan perintah berkurung pada waktu malam dan larangan terhadap perhimpunan-perhimpunan sementara pihak-pihak berkuasa menasihatkan penduduk di ibu negara supaya duduk di rumah.

“Pelancong, orang pergi kerja, membeli-belah, santai bersama rakan-rakan – mereka adalah pelanggan kami tetapi mereka semua sudah lenyap,” kata pemandu taksi Anuchit Surasit.

Lelaki berusia 47 tahun itu baru sahaja meninggalkan kenderaannya di sebuah garaj di barat Bangkok, meletakkannya di antara beratus-ratus kereta taksi lain yang terpaksa direhatkan.

Sementara beliau suka menjadi pemandu taksi, Anuchit berkata beliau melihat pendapatannya menurun kepada hanya 300 baht (AS$9) sehari.

Seorang pemandu memeriksa tuk-tuk di tempat letak kereta, di mana kebanyakan mereka tiada memiliki sebarang pekerjaan. – AFP
Sejumlah teksi yang ditinggalkan di tempat letak kereta syarikat, setelah pemandu tidak dapat membayar sewa kerana kesulitan ekonomi akibat COVID-19 dan lebih dari setahun tiada pelancong asing, di Bangkok. – AFP
Seorang lelaki memandu tuk-tuk di Bangkok. – AFP

Beliau juga mempertimbangkan risiko tambahan dijangkiti varian Delta yang sangat mudah berjangkit yang sedang mencengkam negara-negara jiran di Asia Tenggara.

“Saya perlu berhenti memandu dan mencari perkara lain untuk dilakukan kerana pekerjaan ini terlalu berisiko pada masa ini,” ujarnya. Seorang atendan menyembur teksinya dengan disinfektan dan mengambil kunci-kuncinya.

Pelancongan menyumbang kepada satu perlima daripada ekonomi Thailand, yang mengalami kemelut terburuk sejak krisis kewangan Asia 1997. Kerajaan itu telah melihat sebahagian kecil daripada 40 juta pelancong yang diramal melawat tahun lalu, sebelum wabak meletus.

Kira-kira 100,000 orang yang bekerja di sektor pengangkutan Thailand kini menganggur dan lebih daripada separuh kumpulan teksi metropolitan Bangkok berada di luar jalan, kata Presiden Persatuan Pengendali Pengangkutan Thailand, Wasuchet Sophonsathien kepada AFP.

Tuk-tuk pernah menjadi pemandangan di sekitar kawasan bersejarah Bangkok dan jenis pengangkutan kegemaran pelancong asing, sementara itu sebahagian besarnya hilang dari jalan raya. “Saya rasa putus asa tetapi saya masih harus memperjuangkan keselamatan keluarga saya,” kata pemandu berusia 57 tahun, Somsak Boontook.

Kerajaan telah menghadapi banyak kritikan atas pengurusan pandemik dan kelambatan pemberian vaksin.

Baru-baru ini dana $920 juta untuk menolong perniagaan Bangkok telah diluluskan, termasuk industri pengangkutan. Tetapi lebih banyak yang perlu dilakukan, kata Wichai Supattranon, yang memulakan perniagaan pengangkutan dengan ibunya empat dekad yang lalu dan sekarang memiliki kumpulan 60 tuk-tuk yang tidak beroperasi.

“Satu-satunya jalan penyelesaian yang dapat saya lihat sekarang ialah kerajaan bergerak maju dan membuka kembali negara ini secepat mungkin,” katanya. – AFP