Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak bagi perkhidmatan rumah-ke-rumah akan dijalankan lagi bermula esok hingga 15 Januari bagi pesakit-pesakit yang terpilih sahaja iaitu mereka yang mengalami kesukaran bergerak atau terlantar di katil.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, perkhidmatan rumah-ke-rumah itu akan dijalankan di beberapa buah mukim dari pukul 9 pagi hingga 2:30 petang.
Pada 10 Januari, perkhidmatan itu akan berada di Mukim Batu Apoi, Mukim Bokok, Mukim Bangar dan Mukim Amo, 11 Januari di Mukim Pekan Tutong, Mukim Keriam dan Mukim Liang, 12 Januari di Mukim Telisai dan Mukim Liang, 13 Januari di Mukim Berakas ‘B’ serta 15 Januari di Mukim Berakas ‘B’ dan Mukim Pekan Tutong.
Kenyataan menjelaskan bahawa pesakit yang memenuhi kriteria bagi perkhidmatan rumah-kerumah akan dihubungi lebih awal oleh pihak kementerian bagi saringan awal dan mereka diminta untuk memberikan nombor kad pengenalan atau pasport serta kad atau nombor BruHIMS jika ada.