Perkhidmatan vaksinasi bergerak diteruskan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak akan diteruskan lagi di beberapa tempat bermula esok, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memaklumkan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato berkata bahawa esok, perkhidmatan berkenaan akan berada di Klinik Kesihatan Kampung Bolkiah dari 9 pagi sehingga 2:30 petang, khusus untuk penduduk Kampung Bolkiah A dan B dan kawasan persekitaran Mukim Sungai Kebun.

Kemudian, pada 3 dan 4 November, ia akan diadakan di Pusat Kesihatan Sungai Liang juga dari 9 pagi sehingga 2:30 petang, khusus untuk penduduk Mukim Liang dan sekitarnya.

Perkhidmatan juga akan diadakan di Pusat Kesihatan Pengkalan Batu selama dua hari iaitu 5 November dari 9 pagi sehingga 12 tengah hari dan 7 November dari jam 9 pagi sehingga 2:30 petang, khusus untuk penduduk di Mukim Pengkalan Batu dan kawasan sekitarnya.

“Manakala, perkhidmatan vaksinasi ke rumah-rumah akan diadakan pada 4 November mengikut senarai yang disediakan oleh ketua kampung,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Menurutnya, penduduk setempat yang ingin mendapatkan suntikan COVID-19 bolehlah datang terus secara walk-in dengan membawa kad pengenalan atau pasport serta kad (atau nombor) Bru-HIMS, jika ada.

“Bagi mereka yang tidak mampu untuk hadir sendiri ke pusat-pusat kesihatan berkenaan disebabkan masalah kesihatan atau kesukaran bergerak, mereka boleh mendaftar atau didaftarkan melalui ketua kampung bagi urusan vaksinasi di rumah masing-masing,” kata beliau lagi.