Perkongsian tingkat kesedaran kanser payudara

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Persatuan MAWAR

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Persatuan MAWAR melalui Biro Pendidikan dan Pembangunan, hari ini mengadakan sesi perkongsian yang bertajuk ‘Kanser Payudara: Antara Fakta dan Auta’ bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai, khususnya bagi wanita dalam hal ini.

Sesi perkongsian ini yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan itu disampaikan oleh penyampai undangan, Patologis Anatomik dari Hospital Melaka, Malaysia, Dr Diyana binti Abdullah. Perkongsian antara lain memberikan pendidikan kepada wanita untuk mengenal pasti simptom-simptom awal kanser supaya dapat dikesan dan dicegah pada peringkat rawatan awal.

Ia juga memberi peluang kepada ahli untuk berkongsi pengalaman dan nasihat mengenai kanser payudara. Hadir pada sesi perkongsian itu ialah Penasihat Persatuan MAWAR, Professor Madya Dr Hajah Rose binti Abdullah dan juga Presidennya, Hajah Kamlah binti Haji Daud serta ahli-ahli Persatuan MAWAR yang lain.

Menurut kenyataan daripada persatuan itu, program seumpamanya akan diadakan lebih kerap dengan kerjasama Biro Pendidikan dan Pembangunan bagi memberikan kesedaran dan kefahaman ilmu mengenai kesihatan, sosial dan ekonomi serta pendidikan kekeluargaan selaras dengan objektif penubuhan Persatuan MAWAR yang mengetengahkan isu-su wanita dan kanak-kanak.

Program seumpama ini juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di kalangan ahli persatuan dan masyarakat.

Antara ahli Persatuan MAWAR yang tidak melepaskan peluang bertanya beberapa perkara berkaitan dengan tajuk perkongsian.