Perkongsian transformasi digital politeknik Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Transformasi Digital Politeknik Brunei (PB) telah dibincangkan dalam sesi perkongsian di bawah Program Pembangunan Eksekutif PB (PBELP) yang diadakan di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sebagai institusi pendidikan tinggi kerajaan, PB tidak asing lagi dalam menggunakan teknologi-teknologi terkini terutamanya dalam mempelbagaikan metode pengajaran dan pembelajaran ke arah gaya pembelajaran yang sesuai dengan pelajaran.

PB mengutamakan ke arah pendigitalan institusi selaras dengan proses pembangunan strategik masa depan institusi berkenaan, visi Kementerian Pendidikan dan usaha negara ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Kenyataan menyatakan, PB secara aktif telah menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS), sebagai sebahagian daripada program strategiknya di bawah Pelan Pembangunan Lima Tahun PB (FYDP) PB 2015-2020, bagi pengajaran dan pembelajaran harian sebagai pendekatan bersepadu di samping aktiviti-aktiviti pensyarah dan pelajar dalam kelas.

PB berhasrat untuk membangunkan Sistem Pengurusan Kampus (CMS) yang sedia bagi masa depan. Ini adalah sebahagian daripada objektif strategik untuk menambah baik pembangunan infrastruktur ke arah transformasi digital di bawah FYDP 2021-2025.

CMS yang dirancang itu bermatlamat untuk mewujudkan ekosistem kondusif digital bagi PB, yang berfungsi sebagai platform digital yang penting untuk menyampaikan perkhidmatan akademik dan korporat secara inovatif di institut berkenaan. Transformasi digital berkenaan, menerusi penyampaian CMS, akan memfokuskan empat strategik utama iaitu ekosistem bersatu, kecemerlangan dan tadbir urus, data besar dan analitis serta inovasi.

Kenyataan menjelaskan, PBELP adalah sebahagian daripada strategi PB di bawah FYDP 2021-2025, yang diperkenalkan oleh PB bagi para pegawai, pensyarah dan kakitangannya berbincang, mengumpul maklumat, mendapatkan pengalaman dan memberikan sokongan kepada strategi dan pelan kebangsaan serta memupuk dan meningkatkan kapasiti sumber-sumber manusia bagi pemimpin-pemimpin berpotensi PB.

Sesi perkongsian berkenaan memfokuskan mengenai Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, di mana taklimat dan perkongsian tentang pelan tersebut telah disampaikan oleh perwakilan daripada Pejabat Negara Pintar dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Sesi perkongsian di bawah Program Pembangunan Eksekutif PB (PBELP) yang diadakan di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong, baru-baru ini.
PB mengutamakan ke arah pendigitalan institusi selaras dengan proses pembangunan strategik masa depan institusi dan usaha negara ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).