Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) Brunei Darussalam dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah menganjurkan bengkel-bengkel untuk memperkukuhkan piawaian-piawaian keselamatan dan kesihatan perkerjaan (OSH) di Brunei Darussalam di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Bengkel selama dua hari yang diadakan pada 29 dan 30 Oktober itu merupakan sebahagian daripada misi pakar ILO ke Brunei Darussalam dalam mendukung usaha-usaha negara bagi meningkatkan keberkesanan dan memperkukuhkan lagi ekosistem keselamatan dan OSH selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dalam mencapai amalan yang bertaraf dunia dari segi keselamatan dalam semua industri.
Hadir untuk merasmikan bengkel berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Haji Muhsin bin Haji Ahmad. Bagi bengkel pertama, ia dihadiri oleh wakil-wakil daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan wakil-wakil pekerja. Bengkel berkenaan memberikan tumpuan kepada persediaan Negara Brunei Darussalam dalam melaksanakan komitmen-komitmen di bawah Konvensyen Rangka Kerja Promosi bagi OSH, 2006 (No.187) yang baru diratifikasi.
Manakala bengkel kedua yang dihadiri kumpulan tertentu seperti pakar-pakar OSH, pengurus keselamatan tempat kerja dan pegawai keselamatan industri, membincangkan sistem-sistem kelayakan OSH, pembentukan Jawatankuasa OSH dan penubuhan sistem pengurusan OSH dalam organisasi-organisasi.
Selain itu, para peserta juga dibekalkan dengan alat dan kerangka untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan keselamatan serta pengetahuan lebih mendalam mengenai pematuhan undang-undang bagi struktur keselamatan di tempat kerja.
Sesi perbincangan kumpulan serta dialog secara mendalam sesama peserta daripada sektor kerajaan, industri dan badan bukan kerajaan, berjaya meraih cadangan yang strategik dan praktikal yang bersesuaian dengan keperluan khusus Brunei dengan mengambil kira amalan-amalan terbaik dan piawaian antarabangsa serta rangka kerja pengawasan ILO bagi pembangunan lanjut program OSH negara.
Sesi itu juga secara keseluruhannya menawarkan panduan strategik yang jelas bagi pembangunan keutamaan dan program OSH negara. Kerjasama antara SHENA dan ILO terus menyokong perjalanan Brunei Darussalam dalam menyelaraskan piawaian-piawaian global dan melambangkan komitmen Brunei Darussalam untuk mewujudkan tempat-tempat kerja yang mampan dan selamat melalui usaha-usaha bersama di antara penggubal dasar, pemimpin industri dan pakar-pakar keselamatan.