Perkukuh kedayatahanan ASEAN hadapi COVID-19

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Negara-negara anggota ASEAN perlu saling melengkapi usaha masing-masing serta berkongsi maklumat, pengalaman dan langkah yang diambil adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam mengawal penularan pandemik di rantau ini.

“Perpaduan ASEAN kini lebih diperlukan dalam menghadapi cabaran baharu yang dibawa oleh COVID-19 termasuk pengurusan maklumat awam untuk mengelak kepanikan dan mengatasi berita palsu,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan menyertai persidangan video bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai wabak COVID-19 bersama para pemimpin ASEAN, yang berlangsung di Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman.

Dari aspek sosioekonomi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh mengenai langkah-langkah yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam yang termasuk persediaan lebih berdaya tahan dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi pasca-COVID-19.

Pada waktu yang sukar ini, titah Baginda, amatlah penting bagi ASEAN bekerjasama untuk memastikan aktiviti ekonomi yang berterusan dan juga belajar daripada krisis ini agar lebih bersedia untuk menghadapi kecemasan kesihatan masa hadapan. Kerjasama merentasi semua tonggak komuniti perlu ditingkatkan untuk menguatkan kedayatahanan ASEAN.

Untuk itu, Baginda menekankan kepentingan untuk mempercepatkan perdagangan intra-ASEAN dalam mempersiapkan pemulihan rantau ini pasca-COVID-19.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyertai persidangan video bagi dua persidangan kemuncak khas mengenai wabak COVID-19, di Istana Nurul Iman.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menyertai persidangan video bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN Plus Three mengenai wabak COVID-19, di Istana Nurul Iman.
Baginda Sultan bersama pemimpin-pemimpin negara ASEAN yang lain semasa persidangan video bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN Plus Three mengenai wabak COVID-19.

Terdahulu, sidang kemuncak khas ASEAN berlangsung pada sebelah pagi itu telah dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc selaku pengerusi ASEAN bagi tahun 2020.

Dalam sidang itu, para pemimpin telah mendengarkan laporan daripada pengerusi majlis Koordinasi ASEAN (ASEAN Coordinating Council) mengenai usaha-usaha ASEAN dalam menangani COVID-19 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Republik Sosialis Vietnam, TYT Pham Binh Minh.

Para pemimpin ASEAN juga meluluskan cadangan-cadangan ke arah menangani wabak COVID-19, termasuk penubuhan dana tindak balas ASEAN ke atas COVID-19; mewujudkan garis panduan yang seimbang sebagai tindak balas kepada kecemasan kesihatan awam; meningkatkan perhubungan dan kerjasama bagi menangani berita palsu; mengurangkan kesan ekonomi akibat COVID-19; meneruskan perlindungan sosial; dan membangunkan rancangan pemulihan pasca pandemik.

Sidang Kemuncak Khas ASEAN Plus Three

Pada sebelah petangnya, para pemimpin ASEAN dan negara-negara Plus Three iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea meneruskan lagi persidangan video bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN Plus Three yang dimulakan dengan ucapan pembukaan TYT Nguyen Xuan Phuc.

Ia kemudian diikuti dengan ucapan-ucapan daripada Presiden Republik Korea, TYT Moon Jae-in (selaku penyelaras negara-negara Plus Three); Perdana Menteri Jepun, TYT Shinzo Abe; dan Perdana Menteri China, TYT Li Keqiang.

Semasa sidang tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menyatakan kepentingan kerjasama erat di antara ASEAN dan negara-negara Plus Three dalam menghadapi kecemasan kesihatan global itu.

Baginda mengalu-alukan usaha dan kepakaran yang dihulurkan oleh rakan dialog, dan menyatakan bahawa kerjasama yang berterusan terhadap usaha tindak balas akan memastikan pendekatan yang selaras dalam menyekat pandemik di setiap negara, serta mencegah penyebarannya di rantau ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menggariskan keperluan untuk menangani kesan sosioekonomi akibat COVID-19 dan mencadangkan bagi menumpukan usaha kepada memastikan aliran barangan dan perkhidmatan asasi tidak terjejas bagi mempertahankan keselamatan dan sumber pendapatan rakyat.

Selain mendukung integrasi ASEAN, Baginda turut menyeru agar negara-negara ASEAN dan Plus Three untuk mengembangkan peluang perdagangan dan pelaburan serantau ke arah meningkatkan kedayatahanan sejagat terhadap kecemasan pada masa akan datang, justeru mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasca-COVID-19.

Dalam persidangan itu, para pemimpin negara-negara Plus Three telah berkongsi maklumat dan pengalaman masing-masing termasuklah inisiatif-inisiatif mengekang penularan wabak, inisiatif kesedaran awam, dan perawatan yang diberikan kepada pesakit-pesakit yang telah dijangkiti wabak COVID-19.

Persidangan-persidangan khas tersebut turut meluluskan deklarasi dan kenyataan bersama.