Perkukuh MSME ASEAN-India bantu pemulihan ekonomi pasca pandemik

KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Memperkukuh sokongan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang menjadi tulang belakang ekonomi ASEAN dan India, dapat membantu mempermudah serta memacu pertumbuhan ketika pasca pandemik COVID-19.

Pengerusi bersama Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) Datuk Ramesh Kodammal berkata demikian pada Konsultasi Menteri Ekonomi ASEAN-India ke-18 secara maya pada Selasa.

“AIBC cadangkan sudah masanya ASEAN dan India melihat kerangka kerjasama untuk e-dagang yang boleh memberi manfaat kepada MSME, usahawan muda dan inovator dari kedua-dua rantau,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama pada kelmarin.

ASEAN dan India menyasarkan dagangan bernilai AS$100 bilion, beliau percaya ia dapat dicapai hanya melalui persekitaran dagangan dan pelaburan yang lebih mudah.

Ramesh berkata AIBC turut mengesyorkan ASEAN dan India berusaha untuk mengatasi kekangan dan kawalan lain yang menghalang aliran barang dan perkhidmatan bebas antara blok 10 anggota dan republik itu.

Selain itu, AIBC turut menyatakan bahawa isu pandemik COVID-19 paling banyak memberi kesan kepada sektor perjalanan dan pengangkutan.

“Sekatan perjalanan rentas sempadan dan aspek visa harus diberi perhatian sewajarnya apabila situasi bertambah baik,” katanya.

Ramesh berkata, AIBC berpandangan terdapat peluang bagi perusahaan India untuk melabur di ASEAN sekali gus memanfaatkan tujuh perkara utama dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serantau iaitu ASEAN-China, ASEAN-India, ASEAN-Korea, ASEAN-Jepun, ASEAN-Australia-New Zealand, ASEAN-Hong Kong dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan 40 perjanjian FTA dua hala atau serantau yang melibatkan setiap negara ASEAN.

Jumlah dagangan ASEAN dan India pada 2020 sebanyak AS$65.6 juta, menurun 14.9 peratus tahun ke tahun. – Bernama