Perkukuh persefahaman profesional

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Majlis Penutup Sesi Seminar bersempena Persidangan Penasihat dan Atase Pertahanan 2019 yang berlangsung selama dua hari telah diadakan di Dewan Auditorium, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, di sini, hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Kenyataan menjelaskan bahawa seminar itu telah membawakan bersama atase dan penasihat pertahanan Negara Brunei Darussalam yang ditempatkan di pelbagai negara serta pembentang jemputan terdiri daripada atase dan penasihat pertahanan luar negeri ke Negara Brunei Darussalam untuk membincangkan cabaran keselamatan yang dihadapi oleh negara masing-masing.

Ahli panel pada tahun ini termasuk penasihat pertahanan United Kingdom ke Negara Brunei Darussalam dan ketua pegawai, Pejabat Kerjasama Pertahanan dari Kedutaan Amerika Syarikat.

Kenyataan turut menyatakan bahawa hadir sebagai tetamu kehormat semasa majlis pembukaan seminar, kelmarin ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Dengan bertemakan Promoting The Understanding of Evolving Regional Security Dynamics through Cooperation and Information Sharing, seminar pada tahun ini bertujuan untuk mempromosikan perkongsian maklumat terhadap isu-isu kontemporari yang berkaitan dengan keselamatan, kebimbangan yang dihadapi masa kini dan cabaran-cabaran semasa.
Dengan sesi perbincangan dan perkongsian ini, adalah diharapkan ia akan dapat menjana persefahaman bersama, memperkuatkan lagi rangkaian hubungan profesional dan kerjasama di antara atase-atase dan penasihat-penasihat pertahanan Negara Brunei Darussalam dan negara-negara lain.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menyampaikan ucapannya semasa majlis tersebut. – Gambar oleh Kementerian Pertahanan