Perkukuhkan program MM2H

KUALA LUMPUR, 19 JULAI – Rakyat asing perlu digalakkan untuk menyertai program MM2H (Malaysia Rumah Keduaku) dan melabur dalam hartanah Malaysia bagi membantu mengurangkan lebihan penawaran dalam sektor hartanah, menurut Institut Ejen dan Pakar Perunding Profesional Malaysia (MIPEAC).

Dalam kenyataannya hari ini, MIPEAC berkata ia merupakan suatu kerugian jika promosi MM2H tidak ditingkatkan atau menggalakkan lebih banyak pelaburan asing dalam sektor hartanah negara.

“Dengan lebihan unit kediaman bernilai RM20 bilion, kita harus lebih terbuka kepada pembeli asing yang mempunyai kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi, untuk memasuki pasaran,” katanya.

Presiden Persekutuan Hartanah Antarabangsa Cawangan Malaysia (FIABCI) Michael Geh dilaporkan berkata dalam portal berita baru-baru ini bahawa Malaysia wajar menggalakkan lebih ramai pembeli asing membeli hartanah tempatan bagi menangani isu unit tidak terjual di negara ini.

“Secara umumnya, usaha untuk memacu pelaburan asing dalam segmen lain seperti hartanah komersil dan perindustrian perlu diambil dengan lebih serius. MIPEAC percaya banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menggalakkan pembeli dan pelabur asing memasuki pasaran hartanah Malaysia.

Pembangunan mewah boleh dipasarkan secara lebih intensif di seluruh dunia, bersama-sama promosi yang dilakukan dalam sektor pelancongan,” katanya. – Bernama