Perkumpulan di rumah dihadkan 30 orang bervaksin

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Semasa fasa peralihan yang akan bermula tidak lama lagi, jumlah perkumpulan di kediaman yang dibenarkan bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi kini ditingkatkan kepada 30 orang.

Sebelum ini, jumlah perkumpulan dihadkan kepada 10 hingga 30 orang sahaja tergantung kepada saiz kediaman.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, dalam keadaan tertentu misalnya berlakunya kematian atau pengurusan jenazah, maka bilangan 30 orang yang ditetapkan itu boleh dipertimbangkan dengan menambah jumlah kehadiran orang di luar rumah dan di kawasan terbuka dengan memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin juga mengingatkan bahawa pada masa fasa peralihan yang bermula pada 19 November depan, perkumpulan ramai yang hanya dibenarkan adalah tidak melebihi 200 orang.