Perkumpulan ramai masih terhad 30 orang

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Terdapat beberapa perbezaan indeks dalam langkah-langkah pengurangan penjarakan sosial di negara ini, di mana ada yang masih berada di tahap pertama, kedua dan sebagainya.

Dari segi perkumpulan ramai, ia masih dikekalkan kepada 30 orang sahaja secara terhad dan ketika ini masih lagi berada di tahap sifar.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjelaskan mengenai garis panduan bagi perkumpulan ramai ketika ini pada sesi soal jawab Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Apabila ditanya mengenai kemajuan terhadap ujian pemeriksaan bagi barisan hadapan seperti guru-guru dan kakitangan sama ada masih ada lagi yang perlu diambil sampel atau tidak, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa apabila Kementerian Pendidikan membuka sesi persekolahan nanti bagi kanak-kanak sekolah rendah, mereka akan membuat saringan selanjutnya terutama kepada penuntut-penuntut, guru-guru ataupun pekerja-pekerja yang terlibat dengan murid-murid sekolah rendah.