Perkumpulan ramai tidak melebihi 200

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Di bawah tahap kesediaan operasi ketiga pengurangan langkah-langkah pengawalan wabak COVID-19 Negara Brunei Darussalam bagi perkumpulan ramai, perkumpulan dibenarkan kepada keramaian tidak melebihi 200 orang.

Kemas kini garis panduan Kementerian Kesihatan bagi perkumpulan ramai berkenaan menyatakan bahawa perkumpulan ramai merujuk kepada acara yang dianjurkan secara terancang mahupun spontan serta

mempunyai jumlah individu yang cukup untuk mengendalikan perancangan dan memberikan tindak balas terhadap sumber tenaga komuniti, kawasan atau negara yang menganjurkan acara berkenaan.

Menurut garis panduan berkenaan, perkumpulan ramai yang dibenarkan adalah terhad kepada keramaian tidak melebihi 200 orang sahaja untuk setiap majlis atau acara dan penganjur majlis atau acara tidak dibenarkan untuk menjemput para hadirin hadir secara bergilir.

Majlis-majlis yang dibenarkan ialah acara atau majlis peribadi, keaga-maan, perkahwinan, kekeluargaan dan amal atau sukarelawan yang diadakan di kediaman persendirian sama ada acara di dalam rumah atau menggunakan khemah di luar rumah atau premis-premis khusus seperti dewan bankuet, restoran dan tempat-tempat acara lain.

Majlis yang dibenarkan juga ialah acara keramaian di tempat kerja termasuk mesyuarat, kursus, latihan, persidangan, temu duga pekerjaan termasuk peperiksaan bertulis dan acara sosial.

Penganjur bagi mana-mana acara rekreasi hendaklah memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dipatuhi dan acara-acara yang dibenarkan hendaklah mematuhi had keramaian orang yang hadir.

Garis panduan berkenaan turut menyatakan bahawa acara atau majlis yang dibenarkan hendaklah diringkaskan supaya tidak memakan masa yang lama di mana seboleh-bolehnya dihadkan masa acara kepada dua jam sahaja pada satu-satu masa.

Bagi acara-acara yang diadakan di kediaman peribadi, tuan rumah dikehendaki menyediakan senarai semua jemputan yang hadir untuk memudahkan pengesanan kontak jika diperlukan seperti dengan menyediakan buku daftar atau buku tetamu (guest book).

Bagi acara yang diadakan di premis-premis khusus, pihak pengurusan premis dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis masing-masing dan seterusnya mencetak kod QR berkenaan serta diletakkan di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pengunjung sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis.

Garis panduan turut menggariskan syarat-syarat umum bagi penganjur majlis dikehendaki untuk menggalakkan para hadirin mengamalkan penjarakan sosial seperti meletakkan kerusi pada jarak sekurang-kurangnya 1 meter sepanjang acara dijalankan, memastikan persekitaran sentiasa terjaga seperti dalam penyediaan kemudahan bilik air bersih dan mencukupi, tempat membasuh tangan berserta sabun, tuala pakai buang atau tisu dan tong-tong sampah yang bertutup dan jika boleh, menyediakan pensanitasi tangan (hand sanitiser), memastikan tempat yang digunakan mempunyai pengalihudaraan atau ventilasi yang baik dan juga disarankan untuk menggunakan kipas dan membuka tingkap jika perlu, premis hendaklah dibersihkan dan di sanitasi sebelum dan selepas acara diadakan terutamanya permukaan yang sering disentuh.

Penganjur acara boleh menyediakan hidangan jamuan secara disajikan (serving) atau menggunakan set dome. Walau bagaimanapun, hidangan secara bufet boleh dipertimbangkan jika majlis diadakan di kediaman peribadi atau majlis diadakan secara tertutup di premis-premis yang khusus.

Jika mengadakan hidangan bufet, penganjur acara dikehendaki untuk menyediakan staf atau pelayan khusus bagi menghidangkan makanan atau mengaut makanan untuk para tetamu.

Sebaik-baiknya, sediakan beberapa meja bufet untuk mengelakkan kesesakan serta memastikan pelayan memakai penutup hidung dan mulut.