Perlaksanaan De-Escalation plan secara berfasa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohammad Daud, telah mengumumkan mengenai perlaksanaan De-Escalation Plan di semua kementerian dan jabatan kerajaan dengan pelan berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa berpandukan kepada nasihat pihak Kementerian Kesihatan dan mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Berikutan situasi penularan jangkitan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang terkawal, pelan itu akan memerlukan semua agensi kerajaan untuk meneliti semula Business Continuity Pelan (BCP) masing-masing dengan menyesuaikan kepada keadaan dan situasi penularan wabak COVID-19 di negara ini serta juga mengambil kira keadaan dan situasi di luar negara.

Dalam hal itu, Yang Berhormat Dato turut menekankan bahawa wabak COVID-19 di sebilangan negara serantau dan antarabangsa masih menghadapi penularan yang belum terkawal (community spread).

“Semua pihak hendaklah masih mengekalkan kewaspadaan dan kesiapsiagaan yang tinggi demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara ini,” jelasnya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan pada 23 Mei lalu.

Yang Berhormat Dato se-terusnya menyatakan bahawa BCP berkenaan juga hendaklah mengambil kira dan berpandukan kepada garis-garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan seperti Garis Panduan bagi Kumpulan yang Berisiko Tinggi Semasa Epidemik COVID-19 dan lain-lain melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn.

Yang Berhormat Dato seterusnya memaklumkan bahawa pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan terus menggunakan teknologi terkini dalam pemberian perkhidmatan secara atas talian (online) serta meneroka penggunaan teknologi terkini yang bermanfaat kepada semua, selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Dalam masa yang sama dan sebagai usaha berwaspada, semua kementerian dan jabatan kerajaan serta pelanggan dan pengunjung ke premis-premis kerajaan hendaklah menggunakan aplikasi BruHealth bagi membantu pihak Kementerian Kesihatan dalam pengesanan kontak (contract tracing) jika terdapatnya keperluan sedemikian dengan perkara itu akan diteliti kesesuaiannya dari semasa ke semasa.

Walaupun situasi penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam adalah di tahap yang terkawal, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 06/2020 mengenai Garis Panduan Pengawalan dan Menangani Pandemik COVID-19 bagi Warga Perkhidmatan Awam, adalah masih berkuat kuasa.

“Ini termasuklah tegahan keluar negeri bagi seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam adalah juga masih berkuat kuasa.”

Yang Berhormat Dato juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak warga kementerian dan jabatan kerajaan atas sumbangan sukarela kepada COVID-19 Relief Fund bagi membantu dalam membiayai keperluan-keperluan yang berkaitan dengan menangani penularan wabak COVID-19.

Dalam hubungan itu, orang awam adalah dialu-alukan untuk terus memberikan sumbangan secara sukarela.

Dalam sama-sama merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Yang Berhormat Dato menyarankan orang ramai untuk mematuhi arahan dan melaksanakan nasihat Kementerian Kesihatan khususnya tidak mengadakan perhimpunan ramai berbentuk majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri kementerian dan jabatan, termasuklah pejabat terbuka dan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan fizikal di kesemua premis kerajaan.