Perlaksanaan pelan de escalation fasa pertama KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) baru-baru ini telah mengumumkan mengenai langkah-langkah perlaksanaan pelan de-escalation fasa pertama KKBS iaitu pembukaan semula pusat-pusat dan fasiliti sukan di seluruh negara (ataupun Operational Readiness Level 1) bagi empat jenis pusat dan fasiliti sukan iaitu gim dan pusat kecergasan, fasiliti sukan tertutup, fasiliti sukan luar dan padang golf.

Sehubungan dengan itu, KKBS juga ingin memaklumkan mengenai garis panduan bagi penggunaan gim, pusat kecergasan dan sukan golf yang telah dikuatkuasakan pada 16 Mei lalu adalah dikekalkan.

Walau bagaimanapun, setelah diteliti bersama Kementerian Kesihatan, syarat dan garis panduan bagi fasiliti sukan iaitu gim, pusat kecergasan dan padang golf adalah sama seperti yang sebelumnya kecuali yang berkaitan dengan pusat sukan tertutup dan pusat sukan luar.

Sehubungan itu, KKBS telah pun membuat kemas kini terhadap garis panduan tersebut dalam mana sukan-sukan single match ataupun satu lawan satu yang dihadkan kepada satu jam sahaja adalah dibenarkan, yang mana garis pandu sebelum ini hanya membenarkan sukan-sukan perseorangan sahaja dalam fasiliti-fasiliti tersebut. Sukan-sukan single match yang dibenarkan adalah seperti sukan bulu tangkis, tenis, skuasy, ping pong, sukan kiu, boling padang, petanque dan sukan memanah.

Manakala sukan-sukan anjuran, sukan-sukan berpasukan dan sukan-sukan yang melibatkan kontak mahupun penganjuran bagi perlawanan atau kejohanan sukan adalah masih tidak dibenarkan pada peringkat ini.

KKBS juga turut mengingatkan kepada orang ramai dan pengurus fasiliti sukan bahawa garis pandu Kementerian Kesihatan yang sedia ada juga hendaklah terus dipraktikkan iaitu dengan sentiasa mengamalkan tanggungjawab sosial, memastikan penjarakan fizikal dan kebersihan diri, peralatan dan persekitaran fasiliti pada setiap masa.

Setiap pengguna hendaklah mendaftar secara advanced (pre-booking) dan memuat turun aplikasi BruHealth untuk tujuan pendaftaran kod QR dan bagi tempahan fasiliti sukan. Pemilik pusat-pusat dan fasiliti sukan juga hendaklah menyelenggara sistem tempahan itu dan jadual masa bagi memastikan keselamatan kakitangan dan pengguna.

Dalam hubungan itu, KKBS akan memaklumkan perkembangan mengenai langkah de-escalation secara berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut, pemilik-pemilik premis dan orang ramai bolehlah merujuk kepada garis panduan terperinci yang telah disediakan oleh KKBS melalui laman sesawang Jabatan Belia dan Sukan iaitu www.belia-sukan.gov.bn.

Pembukaan semula pusat-pusat dan fasiliti sukan di seluruh negara bagi empat jenis pusat dan fasiliti sukan ialah gim dan pusat kecergasan, fasiliti sukan tertutup, fasiliti sukan luar dan padang golf. – Gambar oleh Zaki Kasharan