KOTA BHARU, 21 OKT – Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan perlawanan bola sepak amal bagi mengutip dana untuk membantu bekas pemain kebangsaan dan Kelantan Mohd Hashim Mustapha yang baru menjalani pembedahan pemotongan kaki minggu lepas.
Naib Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata perlawanan amal melibatkan bekas pemain Kelantan dan Terengganu itu dijadual diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada 8.30 malam, Isnin depan.
“Perlawanan yang diadakan dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu bagi meringankan beban yang dihadapi oleh Mohd Hashim.
“Masuk adalah percuma dan penonton yang ingin menderma boleh berbuat demikian seikhlas hati sewaktu perlawanan itu berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Hashim, bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 90-an itu selamat menjalani pembedahan memotong kaki kirinya akibat penyakit kencing manis yang dialaminya sejak beberapa tahun lepas. Mohd Hashim pernah dinobatkan penjaring terbanyak dan memenangi anugerah kasut emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia selain turut mewakili negara pada era itu. – Bernama