Perlawanan Liga juara-juara tanpa penyokong

MADRID, 10 MAC – Perlawanan Barcelona di pusingan kedua Liga Juara-Juara (UCL) kelompok 16 menentang Napoli yang dijadualkan pada 18 Mac telah diarahkan bermain tanpa kehadiran penonton akibat kebimbangan penularan wabak COVID-19, kedua-dua kelab itu mengumumkan hari ini.

“Perlawanan Liga Juara-Juara yang dijadualkan pada hari Rabu, 18 Mac, antara FC Barcelona dan Napoli, yang akan berlangsung di Stadium Camp Nou secara tertutup,” kata kelab gergasi Sepanyol itu di media sosial rasmi mereka.

Dua lagi perlawanan Liga Juara-juara di antara Valencia dan Atalanta di Sepanyol dan perlawanan antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Borussia Dortmund hari ini dijangka bermain di stadium yang kosong tanpa kehadiran peminat dalam usaha untuk mencegah penularan virus yang membawa maut itu.

Perlawanan PSG yang akan diadakan di Stadium Parc des Princes juga terpaksa bermain di stadium yang tertutup selepas kerajaan Perancis mengumumkan larangan semua perhimpunan lebih daripada 1,000 orang di negara itu di mana 1,412 kes jangkitan COVID-19 telah direkodkan dan 25 kes kematian.

Pengumuman itu diikuti dengan penangguhan pertandingan ragbi Enam Negara antara Perancis dan Ireland yang dijadualkan Sabtu ini di Paris.

Kelab Sepanyol, Valencia yang bakal berentap menentang Atalanta dianggap berisiko tinggi dan diperintahkan bermain secara tertutup kerana pasukan Itali berasal dari Bergamo di rantau Lombardy, salah satu kawasan di Negara Itali yang paling ramai dijangkiti virus.

Itali, negara paling teruk di Eropah dengan 9,172 kes dan 463 kematian, kelmarin mengeluarkan larangan semua acara sukan sehingga 3 April, menggantung semua perlawanan bola sepak Serie A. – AFP

Stadium Borussia-Park yang kosong hari ini di Monchengladbach. Perlawanan Bundesliga derby antara Borussia Moenchengladbach dan Cologne, antara pertandingan yang akan diadakan dalam pintu tertutup. – AFP