AL-RAM, Wilayah Palestin, 5 Ogos – Pasukan kebangsaan Iraq beraksi dalam perlawanan bola sepak pertamanya di wilayah Palestin semalam dan menewaskan pasukan tuan rumah 3-0 dalam satu perlawanan persahabatan.
Sekitar 2,000 orang menghadiri perlawanan di Al-Ram berhampiran Baitulmaqdis di Tebing Barat yang diduduki, berhampiran dinding pemisah Israel yang memutuskan wilayah Palestin itu.
Kebanyakan pasukan di negara-negara Arab, tidak mengiktiraf Israel, enggan mengunjungi wilayah-wilayah Palestin kerana Israel mengawal sempadan Tebing Barat dan mengepung Semenanjung Gaza.
Tetapi pemimpin-pemimpin Palestin sejak beberapa tahun meminta negara-negara Arab untuk menghantar delegasi sukan dan budaya bagi membantu mengurangkan penyisihan mereka, dan sebahagiannya memenuhi permintaan itu.
Persatuan Bola Sepak Palestin menggelar perlawanan itu satu kejayaan walaupun pasukannya mengalami kekalahan.
“Kami meminta pasukan-pasukan Arab untuk mengikuti contoh Iraq dan datang ke Palestin,” kata Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Palestin, Susan Shalaby.
Seorang penyokong pada perlawanan itu, ‘Mariah Qendah berkata Iraq datang ‘untuk menyatakan Palestin anda tidak bersendirian’.
Pasukan Palestin, ahli FIFA sejak tahun 1998, pada Mei lalu hanya seri 0-0 menentang Iraq di bandar selatan Basra, Iraq. – AFP