Perlindungan manusia, haiwan dan tumbuhan tumpuan utama

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong selaku menteri yang bertanggungjawab berkaitan bagi sanitari dan pito-sanitari dalam sektor pertanian dan agrimakanan dan perikanan telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-China bagi kerjasama Sanitari dan Fitosanitari (SPS) ke-7 yang diadakan melalui persidangan video, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, hari ini, mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Naib Menteri, General Administration of Customs, Republik Rakyat China (GACC), Wang Lingjun dan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, Tuan Yang Terutama Veng Sakhon selaku pengerusi Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF).

Kenyataan menyatakan lagi bahawa mesyuarat berkenaan turut dihadiri setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan KSSUP, Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) dan pihak Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Republik Rakyat China.

Mesyuarat itu bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang sanitari dan fitosanitari bagi memastikan haiwan, tumbuhan atau produk sama ada yang diimport dan eksport oleh negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China memenuhi langkah-langkah keselamatan dan perlindungan manusia, kehidupan dan kesihatan haiwan atau tumbuhan demi meningkatkan perdagangan serantau serta bagi memastikan perlaksanaan sejajar dengan perjanjian Pertubuhan Perdagangan Sedunia dalam Sanitari dan Fitosanitari.

Mesyuarat juga menetapkan pelan tindakan antara ASEAN dan Republik Rakyat China bagi 2022 – 2023, yang meliputi kegiatan dalam bidang perlindungan keselamatan makanan, kesihatan tumbuhan dan haiwan yang memfokuskan kepada pembentukan sistem pemberitahuan dan komunikasi maklumat, pertukaran lawatan dengan pihak-pihak yang relevan, mengendali latihan, seminar, persidangan dan aktiviti sanitari dan fitosanitari, penyelidikan secara kolaboratif serta pembentukan mekanisme untuk perundingan.

Mesyuarat juga menyambut baik penyediaan memorandum persefahaman (MoU) yang baharu antara ASEAN dan Republik Rakyat China, iaitu bagi memperkukuhkan lagi kerjasama sanitari dan fitosanitari dalam penerapan langkah-langkah SPS dan memastikan perdagangan produk makanan dan pertanian antara ASEAN dan China mematuhi syarat dan selaras dengan prinsip perjanjian Pertubuhan Perdagangan Sedunia dalam Sanitari dan Fitosanitari.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China bagi Kerjasama Sanitari dan Fitosanitari (SPS) ke-7 yang diadakan secara persidangan video, kelmarin. – Gambar serahan KSSUP