Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Perlu adaptasi kenaikan harga barangan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Kenaikan harga barangan keperluan sejak kebelakangan ini bukan sahaja menjejaskan pelanggan-pelanggan, malah para peniaga tempatan di negara ini, dan mereka perlu mengadaptasi situasi terkini dengan cara mereka tersendiri.

    Apabila ditanya mengenai kenaikan harga pada barangan seperti daging ayam, lembu, kambing dan beberapa barangan lain, Sheikh Muhd Aiman bin Haji Sheikh Mohd, pemilik Moistjito, sebuah perusahaan yang menjual mocktail dan burito, mengongsikan bahawa ia sudah dijangka berlaku terutamanya selepas wabak COVID dan kekurangan bekalan makanan.

    Memandangkan Moistjito ada menggunakan produk ayam dan daging, Sheikh Muhd Aiman menjelaskan, “Kami terpaksa mencari pembekal dengan tawaran yang lebih baik dan kami juga menaikkan harga untuk beberapa item menu kami terutamanya produk daging lembu dan ayam demi mengekalkan margin keuntungan kami.”

    Selepas menaikkan harga, Sheikh Muhd Aiman mengongsikan rasa syukurnya ia tidak banyak menjejaskan jualan mereka kerana orang ramai memahami situasi kenaikan harga itu. Walau bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa kenaikan harga juga boleh bermakna taraf hidup di negara ini bertambah baik.

    “Kami berharap harga komoditi akan stabil tidak lama lagi supaya perniagaan kecil seperti kami dapat berkembang secara mampan,” tambah Sheikh Muhd Aiman.

    Sheikh Muhd Aiman bersama pemilik bersama Moistjito, Awang Muhd Nasru Nizar bin Saifulbahri semasa ditemu bual oleh media.
    Haji Razak semasa ditemu bual oleh Media Permata baru-baru ini.

    Seorang lagi orang awam yang ditemui Media Permata, Haji Razak, mengongsikan bahawa kenaikan harga sejak kebelakangan ini tidak hanya terjadi di Brunei Darussalam, malah juga berlaku di seluruh dunia.

    “Pada pendapat saya, ia mungkin terjadi disebabkan permintaan yang tinggi dan pembekalan yang tidak mencukupi, yang menyebabkan harga terpaksa dinaikkan,” kongsi Haji Razak.

    Apa pun, beliau pasti kerajaan melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) akan sentiasa memantau harga yang ada di negara ini bagi memastikan harga diletakkan secara berpatutan dan tidak melampau.

    “Beberapa hari yang lalu, saya juga ada membaca mengenai kedai-kedai yang dikenakan denda akibat melanggar Perintah Paparan Tanda Harga. Ini adalah tindakan yang bagus dan diharap ia menjadi pengajaran kepada perniagaan lain untuk meletakkan harga yang sepatutnya.

    “Pihak berkuasa juga sebolehnya aktif dalam memeriksa terutamanya premis kedai-kedai runcit bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan kampung-kampung,” saran beliau.

    Apabila ditanya mengenai kenaikan harga surat khabar Media Permata dan Borneo Bulletin, Haji Razak berkata bahawa harga tersebut tidak menjejaskan beliau memandangkan beliau menggunakan kaedah e-paper.

    “Saya juga mengikuti perkembangan terkini di mana pada masa ini, saya hanya membaca berita-berita secara dalam talian. Ianya jauh lebih murah dan lebih mudah untuk didapati,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...