Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai untuk sama-sama membantu meningkatkan bekalan darah di negara ini yang pada masa ini adalah di tahap yang kritikal, dengan menderma darah di Pusat Pendermaan Darah dan tabung-tabung darah di kesemua hospital kerajaan.
Orang ramai yang ingin menderma darah bolehlah berkunjung terus ke Pusat Pendermaan Darah atau tabung-tabung darah berdekatan, bermula pada pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3:30 petang pada hari-hari bekerja sahaja.
Sehubungan itu, pusat berkenaan di Jabatan Perkhidmatan Makmal juga akan mengadakan kempen-kempen derma darah seperti yang dibukakan bagi penyertaan orang ramai.
Orang ramai dialu-alukan datang menyertai kempen yang diadakan pada 4 Mac bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang di dewan serba guna SAMAKAYA iaitu berdekatan Jabatan Kerja Raya (Air) Tasek Lama yang mana kempen dianjurkan oleh JKR SAMAKAYA Bhd.
Sementara itu, kempen seumpama ini juga akan diadakan pada hari yang sama di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dari pukul 7:30 malam hingga 9 malam.
Tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah tersebut adalah sangat digalakkan.