Perlu bersikap pemilih

Lebih sedekad dalam dunia lakonan, Tiz Zaqyah (gambar bawah) pernah menyaksikan kerjaya seninya berada di puncak ketika dirinya masih remaja.

Mula berkongsi bakat lakonan pada 2006 menerusi siri Gol & Gincu serta Impian Illyana musim kedua, namanya menjadi sebutan ramai apabila Tiz atau nama sebenarnya, Siti Zaqyah Abdul Razak, 30, membintangi Nur Kasih di samping Remy Ishak dan Datuk Fizz Fairuz, tiga tahun kemudian.

Bukan sekadar mencipta fenomena di skrin kecil, mereka kemudian membuai emosi peminat apabila versi filem yang menyaksikannya kembali menghidupkan watak Nur Amina menemui penonton di pawagam pada 2011.

Begitupun, seperti pernah dilalui deretan pelakon lain, kerjaya Tiz juga ada pasang dan surutnya. Namun, ketika darjah kehangatan dirinya agak kurang diperkatakan, peluang untuk wanita kelahiran ibu kota ini berkongsi bakat dengan peminat tidak pernah tertutup.

Cuma, ada ketikanya kisah peribadi seperti cerita cinta bagai menenggelamkan bakat besar miliknya.

Tahun ini, rezeki untuknya beraksi di layar kecil terus kencang apabila drama demi drama menyaksikannya tampil sebagai teraju utama. Jika tahun lalu dia kembali mencuri perhatian dengan drama Isteri Bukan Untuk Disewa, mulai 3 Oktober lalu, Tiz akan sekali lagi menghiburkan peminat dengan lakonannya dalam Sara Sajeeda.

Menerusi karya terbitan Zeel Productions siaran slot Samarinda TV3 itu, dia digandingkan dengan aktor tampan Pakistan, Arslan Asad Butt.

“Setakat ini, Alhamdulillah, saya masih fokus dan konsisten dalam dunia lakonan. Rezeki saya dalam bidang seni masih murah apabila tawaran berlakon tidak putus-putus diterima daripada pelbagai syarikat penerbitan. Cuma, ada ketikanya saya tidak mahu terlalu menumpukan perhatian kepada lakonan drama rantaian yang panjang. Saya juga enggan dilihat ghairah menerima tawaran berlakon berturut-turut.

“Selain itu, saya juga perlu bersikap memilih atau selektif. Soal pemilihan watak dan jalan cerita sesebuah naskhah yang ditawarkan menjadi keutamaan. Tahun ini, saya memang memasang azam untuk terus mempelbagaikan karya lakonan,” katanya kepada BH Online.

Suatu masa dahulu, kata Tiz, dia masih tercari-cari apa yang dimahukan dalam kehidupan, sebagai insan dan anak seni. Bahkan, katanya, walaupun sudah lebih sedekad menjadikan lakonan sebagai sumber pendapatan, dia masih menganggap dirinya orang baharu dalam bidang berkenaan.

“Sebagai pelakon, saya selalu menganggap diri ini masih baharu dan banyak lagi perkara perlu diperbaiki dan dipelajari dalam bidang ini. Saya tidak boleh berasa selesa dengan apa yang ada.” – Agensi