Perlu berubah ikut keadaan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani & Bahiyah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Sekatan pergerakan barangan dan manusia antara lain telah mempengaruhi cara perniagaan dijalankan dan mengubah cara mereka beroperasi dan setiap orang harus menyesuaikan diri.

“Segala-galanya akan berubah dan anda harus berubah,” tekan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui selaku salah seorang ahli panel pada bahagian pertama forum Perbincangan Townhall yang dikendalikan oleh Pengerusi Asia Inc Forum, Dato Timothy Ong.

“COVID-19 telah menunjukkan situasi di mana kita tidak boleh mengatakan bahawa ia tidak akan berlaku di Brunei. Kita harus melihat apa jurang yang dapat kita isi dan keperluan di Brunei dan melihat bidang yang dapat kita penuhi (tempatan),” ujar beliau lagi, merujuk pada sekatan dalam pengimportan barang dan tenaga kerja.

Ti Eng Hui menambah bahawa COVID-19 memberi pengajaran besar kepada Brunei dan percaya bahawa dengan berkongsi pengetahuan dan kerjasama, semua dapat berkembang maju bersama.

Bahagian pertama forum berkenaan turut menampilkan Pengurus Besar Brunei Press, Hazizah Osman dan Pengarah Urusan Cuckoo International, Wong Kim Guan yang membincangkan mengenai pengajaran yang diambil dalam perniagaan masing-masing sepanjang wabak COVID-19.

YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah bersama tetamu lain yang hadir mendengarkan forum tersebut.
Ti Eng Hui membincangkan pengajaran yang boleh dipelajari sepanjang pandemik COVID-19 semasa bahagian pertama forum Perbincangan Townhall yang turut menampilkan Hazizah Osman dan Wong Kim Guan dan dikendalikan oleh Dato Timothy Ong.

Sebagai pemimpin syarikat berita dan media, Hazizah pada forum tersebut mengatakan mengenai beberapa masalah yang dihadapi sepanjang pandemik ini, terutama ketika sekatan terhadap acara dan perhimpunan ramai yang telah memaksa pengiklanan berkurangan.

“Ini jelas diterjemahkan (translates) ke dalam perniagaan kami dan mempengaruhi semua orang,” katanya.

Daripada segi pendigitalan Brunei Press, penerbit Borneo Bulletin dan Media Permata memang mempunyai kehadiran yang ketara dalam talian tetapi, tambah beliau, terbukti menjadi cabaran dari segi pengewangan platform dan tidak mudah dicapai kerana pengguna dan perniagaan terbiasa mendapat liputan dan iklan dalam talian percuma di pelbagai media sosial dan platform dalam talian.

Untuk melangkah ke hadapan, Hazizah mengatakan bahawa mereka telah mengintegrasikan pakej iklan dengan platform dalam talian mereka agar lebih banyak dapat dijangkau, dengan memanfaatkan platform media sosialnya yang mempunyai jumlah pengikut yang besar.

“Pandemik ini sudah pastinya memberi kesan kepada kami, tetapi kami masih terus berusaha dan terus mencari jalan untuk tidak hanya menawarkan iklan langsung, tetapi juga dengan menjual lebih banyak kandungan dan pengurusan jenama, yang merupakan beberapa cara berbeza untuk menembusi pasaran,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa elemen manusia sangat penting untuk kelangsungan perniagaan walaupun dengan kemajuan teknologi.

“Selama ini kami telah mendorong pasukan penjualan kami untuk terus menjalin hubungan dengan pengiklan kami tanpa mengira mereka masih bersama kami atau tidak dan kami masih terus berhubungan. Kami bertanya apakah yang dapat kami lakukan untuk membantu mereka dan hubungan seumpamanya menjadikan perniagaan kami terus berjalan,” kongsinya lagi.

Sementara itu, bagi Wong Kim Guan pula, beliau berkata bahawa mereka telah berjaya dalam perniagaan melalui wabak tersebut tetapi ia memerlukan banyak perubahan pantas dan segera terhadap cara mereka menjalankan perniagaan.

“Kami harus cepat bergerak untuk melatih pasukan penjualan kami untuk memindahkan segala-galanya dalam talian dan memanfaatkan platform media sosial untuk menjangkau pelanggan kami,” katanya.

Salah satu kesan penting daripada pandemik COVID-19 adalah rantaian bekalan mereka, di mana produknya berasal dari Korea Selatan dan keadaan semasa wabak tersebut mempengaruhi bekalan dan logistik.

“Semasa tempoh sekatan di Korea Selatan, kilang-kilang kami tidak dibenarkan dibuka, bekalan kami terganggu, maka kami mesti memikirkan cara untuk merancang aliran tunai di tengah-tengah rantaian bekalan yang tidak dapat diramalkan,” jelasnya.

Beliau menekankan bahawa pada ketika ini, kecairan adalah lebih penting, yang mana keuntungan dan kepentingan utama perniagaan adalah untuk terus hidup.

“Pengukuran keuntungan tidak akan menjadi masalah lagi jika anda tidak mempunyai wang tunai di bank. Fokus utama kami sekarang adalah untuk mengekalkan skor kecairan yang baik dan sentiasa merancang ke hadapan agar kecairan masa depan kami kekal mampan,” tambahnya.