Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlu bijak tangani kerenah anak-anak

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Pengalaman hari pertama memasuki alam persekolahan berbeza bagi setiap anak-anak, ada yang menangis kerana ditinggalkan ibu bapa, ada yang ceria dan teruja kerana mengenali rakan yang baru, guru-guru serta suasana yang baru.

    Menurut Pengiran Sufina binti Pengiran Bubin, ibu kepada salah seorang murid cilik yang baru memasuki alam persekolahan Tadika 1, pengalaman hari pertama masuk sekolah bagi anak beliau, Dayang Raysha Kayla Dawisyah binti Mohd Fadhil Azizi, adalah pengalaman yang sangat bermakna yang akan dikenang sampai bila-bila.

    “Apa yang menakjubkan ialah reaksinya yang tenang tidak menangis dan ceria bertemu dengan kawan-kawan barunya, tidak seperti abangnya tiga tahun lalu,” jelas Pengiran Sufina.

    Dayang Raysha Kayla Dawisyah merupakan salah seorang murid yang baru masuk ke alam persekolahan di Tadika 1, sesi petang, di Sekolah Nusa Laila Puteri Cawangan Jangsak, hari ini.

    Beliau menjelaskan bahawa pengalaman hari pertama anak pertamanya, Awang Rayyan Darwisy bin Mohd Fadhil Azizi sangat berbeza berbanding dengan adiknya pada hari ini, di mana dahulu, sejak hari pertama sekolah hingga ke hujung tahun, hampir setiap hari Pengiran Sufina terpaksa menangani kerenah anaknya yang menangis kerana enggan pergi ke sekolah.

    Dayang Raysha Kayla Dawisyah (tiga kiri) bersama rakan-rakan barunya pada hari pertama persekolahan mereka.

    Apabila ditanya kenapa, beliau menjelaskan beberapa faktor berdasarkan pengalaman daripada anak pertama beliau.

    “Sudah setentunya sebagai anak yang pertama tanpa ada abang atau kakak sebagai panduan, membuatkan keadaan menjadi sukar. Namun dengan pengalaman anak pertama saya tersebut, telah menjadi panduan bagi Raysha, di mana abangnya juga sedikit sebanyak membagi tip dan tunjuk ajar,” jelas Pengiran Sufina.

    Selain itu, Dayang Raysha Kayla Dawisyah juga pada tahun-tahun yang sudah sering dibawa untuk menghantar abangnya ke sekolah, yang membuatkan beliau sudah biasa dengan suasana persekolahan, katanya lagi.

    Menurut salah seorang guru di sekolah tersebut, Dayang Rosalinda binti Abdullah, ia adalah sesuatu yang lumrah menghadapi pelbagai kerenah anak-anak yang baru merasakan alam persekolahan.

    “Kami tidak menggalakkan ibu bapa untuk terus menunggu anak mereka dengan lama hingga anak mereka sampai ke tahap yang selesa kerana anak-anak perlu membiasakan diri berjauhan daripada ibu bapa di waktu persekolahan,” jelasnya.

    “Ibu bapa juga tidak seharusnya khuatir kerana kami sudah berpengalaman dalam mengendalikan anak-anak terutama di hari pertama persekolahan mereka,” tekan Dayang Rosalinda lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda